Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Lee Ting Han ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. FOTO BERNAMA
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Lee Ting Han ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. FOTO BERNAMA
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: Kerajaan negeri mensasarkan RM60 bilion pelaburan tambahan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Pengerang dekat Kota Tinggi, bagi pembangunan fasa ketiga.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, terdapat tujuh projek pelbagai dalam perancangan yang dijangka mampu direalisasikan dalam tempoh pembangunan fasa ketiga PIPC.

Antaranya pembinaan ladang solar, kilang penapisan bio dan fasiliti yang menghasilkan produk berkaitan nitril yang digunakan industri tekstil dan industri getah, semua ini berkaitan dengan petrokimia.

"Bagi fasa ketiga pembangunan PIPC, ia akan meliputi tahun 2026 hingga 2031, selari seperti yang disasarkan dalam Pelan Induk PIPC.

"Projek ini masih dalam kajian kemungkinan (kebolehlaksanaan). Masih awal lagi. Projek tersebut berkemungkinan (akan direalisasikan) dalam fasa 2026 hingga 2030 kerana seperti projek kimia dan petrokimia, ia membabitkan perbelanjaan modal yang tinggi," katanya dalam sidang media di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Jelas Lee, pembangunan PIPC yang kini berada dalam pertengahan fasa kedua iaitu 2020 hingga 2025.

Katanya, dalam pembangunan fasa kedua, PIPC menerima pelaburan komited hampir RM140 bilion, iaitu 90 peratus daripada sasaran yang ditetapkan dalam pelan induk tersebut.

"Sebanyak 7,400 peluang pekerjaan diwujudkan di kawasan Pengerang dalam tempoh fasa pertengahan dan bagi fasa ketiga, kita harap boleh tambah lagi 10,000 peluang pekerjaan," katanya.

Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan persekutuan mengumumkan PIPC iaitu kawasan industri hiliran minyak dan gas dan industri petrokimia seluas 9,269 hektar di Pengerang, dijadikan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 3:02 PM