Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


JUMLAH mangsa banjir di Pahang terus mencatatkan peningkatan kepada 6,119 orang daripada 1,695 keluarga setakat 10 malam ini berbanding 2,856 orang daripada 791 keluarga petang tadi.

Berdasarkan laman infobanjir.jkm.gov.my, daerah Kuantan mencatatkan seramai 4,958 mangsa daripada 1,393 keluarga ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS).

Antara PPS yang dibuka di daerah ini adalah Dewan Orang Ramai Sri Damai, Dewan Wawasan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kemunting, Balai Raya Kampung Paya Bungor, Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Abdul Samad, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau, SMK Sungai Lembing, SK Kampung Padang dan SMK Pandan.

Rujukan laman web itu menunjukkan seramai 652 mangsa daripada 174 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Rompin.

BANJIR yang melanda Kampung Bukit Rangin. FOTO Muhd Asyraf Sawal
BANJIR yang melanda Kampung Bukit Rangin. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Sembilan PPS itu adalah di Dewan Telok Gading, Pusat Pemindahan Banjir Kampung Setajam, Dewan Serbaguna Desa Wawasan Kampung Pianggu, SMK Pontian Jaya, Balai Raya Kampung Sepayang dan SK Sarang Tiong, Balai Raya Rekoh, Dewan Orang Ramai Leban Chondong dan Balai Raya Kampung Mikang.

Daerah lain yang turut terjejas ialah Pekan dengan 405 mangsa dipindahkan daripada 106 keluarga di dua PPS yang dibuka.

Selain itu, daerah Maran mencatatkan 72 mangsa banjir dipindahkan daripada 16 keluarga di dua PPS yang beroperasi serta Jerantut dengan 32 mangsa dipindahkan daripada enam keluarga di tiga PPS yang beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 11:10 PM