Polis menjalankan pemeriksaan di luar pintu masuk gereja. FOTO ihsan PDRM
Polis menjalankan pemeriksaan di luar pintu masuk gereja. FOTO ihsan PDRM
Kalidevi Mogan Kumarappa


DUA rakyat tempatan dan seorang lelaki warga Zimbabwe cedera akibat terkena serpihan mercun jenis 'air bomb' dalam kejadian di sebuah gereja di Jalan Sea Park, Petaling Jaya, pada 12.45 tengah malam, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, ketika kejadian, orang ramai yang hadir sedang bersurai selepas upacara sembahyang tahun baru selesai.

"Tiba - tiba mereka terdengar bunyi letupan yang kuat dan tiga orang termasuk pasangan suami isteri dan seorang lelaki warga Zimbabwe cedera akibat terkena serpihan letupan.

"Siasatan awal mendapati mercun jenis 'air bomb' dibaling sekumpulan lelaki bermotosikal dipercayai mat rempit.

“Sebelum kejadian itu juga, dua kumpulan lelaki berlainan bangsa dilihat berkejaran berdekatan gereja berkenaan," katanya.

Menurutnya, pasangan suami isteri berusia 48 dan 45 tahun itu cedera ringan di belakang badan dan kening manakala lelaki warga asing berusia 25 tahun melecur di dahi.

Katanya, insiden ini tidak mempunyai kaitan dengan isu mensabotaj gereja.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada provokasi di antara kedua-dua kumpulan bermotosikal yang kebetulan berlaku di hadapan gereja.

"Dua mercun dipercayai digunakan di dalam kejadian itu di mana satu meletup di bahu jalan manakala satu lagi di hadapan pintu masuk gereja," katanya.

Beliau berkata, usaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di sepanjang jalan itu sedang dijalankan.

"Kami juga ingin memohon kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada polis dengan menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, 03-97662222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 3:02 PM