HOTEL Kingsbury antara hotel yang menjadi mangsa pengebom berani mati. -Foto AFP
HOTEL Kingsbury antara hotel yang menjadi mangsa pengebom berani mati. -Foto AFP
AFP

COLOMBO: Pengebom berani mati menunggu dengan sabar dalam barisan untuk menikmati sarapan bufet sempena sambutan Easter hari ini di Hotel Cinnamon Grand sebelum meletupkan bahan letupan yang diikat di belakangnya.

Sambil memegang pinggan, lelaki itu yang mendaftar di hotel pada Sabtu malam sebagai Mohamed Azzam Mohamed, sedang menunggu giliran untuk dilayan apabila dia meletupkan dirinya di dalam restoran, kata pengurus di hotel Sri Lanka itu.

“Ketika itu jam 8.30 pagi dan keadaan sibuk. Kaum keluarga berada di situ.

“Dia datang ke barisan hadapan dan meletupkan bahan letupan. Salah seorang pengurus kami yang menyambut tetamu antara yang terbunuh,” kata pengurus yang enggan dikenali kepada AFP.

Restoran Taprobane di hotel itu sibuk pada hari berkenaan sempena sambutan Easter.

Pengebom turut maut dan sebahagian badannya yang masih lengkap diambil polis (untuk siasatan).

Pegawai hotel lain memberitahu, pengebom itu seorang warga tempatan, mendaftar masuk dengan memberi alamat palsu dan berkata dia berada di Colombo atas urusan perniagaan.

Dua lagi hotel, Shangri-La dan Kingsbury, turut diserang pada masa sama selain tiga gereja.

Hotel Cinnamon Grand berdekatan dengan kediaman rasmi perdana menteri Sri Lanka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 10:02 PM