Banda Aceh: Seorang lelaki terbunuh dalam satu rusuhan yang menyebabkan sebuah gereja di bandar ini musnah dibakar oleh beratus-ratus lelaki bersenjata, kata polis.

Ketua polis Aceh, Husein Hamidi berkata, 750 perusuh membakar sebuah gereja di selatan Aceh sebelum bertempur dengan sekumpulan penduduk Kristian di sebuah lagi gereja.

“Selepas membakar gereja yang pertama kumpulan ini yang bersenjatakan besi pergi ke sebuah lagi gereja berhampiran.

“Bagaimanapun, sekumpulan penduduk beragama Kristian berada di gereja itu sehingga berlakunya pergaduhan.

“Seorang lelaki maut selepas kepalanya cedera ditembak dengan senapang angin,” katanya.

Menurutnya, empat lagi cedera akibat terkena batu yang dibaling ketika pergaduhan.

Askar dan polis dikerahkan ke lokasi itu untuk mengawal keadaan.

Seramai 30 individu ditahan untuk siasatan berhubung insiden berkenaan.

Kata Hamidi, kekacauan itu berlaku susulan satu bantahan oleh sebuah kumpulan pemuda Islam pada minggu lalu yang mendesak pihak berkuasa merobohkan beberapa gereja yang didakwa dibina tanpa kebenaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:38 AM