POLIS Indonesia membawa beg yang dipercayai mengandungi cebisan mayat suspek pengebom berani mati. FOTO AFP
POLIS Indonesia membawa beg yang dipercayai mengandungi cebisan mayat suspek pengebom berani mati. FOTO AFP
Agensi

Jakarta: Dua suspek yang meletupkan diri di depan Gereja Katedral Makassar dipercayai cuba memasuki pekarangan rumah ibadat itu bagaimanapun dihalang petugas.

Paderi gereja berkenaan Wilhelminus Tulak memaklumkan kepada Kompas TV, petugas di gereja sudah mencurigai gerak-geri dua orang di depan gereja sebelumnya.

"Petugas saya sudah melihat ada dua orang mencurigakan. Betul nekad (mencuba memasuki halaman gereja), kemudian ditahan," jelas Wilhelminus.

Ketika cuba memasuki pekarangan gereja, Wilhelminus berkata, kedua-duanya ditahan petugas di pintu masuk halaman gereja.

"Ketika itu ada jemaah mahu pulang dan masuk, datang suspek menunggang motosikal cuba memasuki gereja.

"Tapi petugas kami menahan di depan pintu itu sebelum terjadi letupan," katanya.

Menurut keterangan Wilhelminus, sebahagian jemaah cedera termasuk petugas gereja yang menahan motosikal suspek.

"Pimpinan gereja baik, saya dan paderi lain juga baik, sebahagian besar jemaah juga baik.

"Memang ada beberapa orang cedera khususnya seorang petugas saya yang menahan pelaku, dia sedikit terbakar, tapi masih sedar," katanya. Wilhelminus menjelaskan, kemungkinan insiden itu terjadi sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Ketika kejadian, penganut katolik di Gereja Katedral Makassar sedang melakukan transisi.

Dalam pada itu, tinjauan di lokasi juga menemui sebuah motosikal yang sudah hancur dan beberapa bahagian badan yang dipercayai milik pelaku.

Selain itu, kebanyakan mangsa mengalami luka di bahagian leher, dada, muka, tangan dan kaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 6:31 AM