Mahathir di Perhimpunan Agung Tahunan PPBM, hari ini. FOTO Sairien Nafis
Mahathir di Perhimpunan Agung Tahunan PPBM, hari ini. FOTO Sairien Nafis
Iskandar Shah Mohamed


PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan tiga kawasan Parlimen yang satu daripadanya bakal ditandingi beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti.

Beliau berkata, ia berikutan reaksi positif diterima rakyat di kawasan Langkawi dan Kubang Pasu di Kedah serta Putrajaya.

"I may contest (saya mungkin bertanding) di salah satu daripada tiga kawasan berkenaan.

"Mereka (rakyat) memberitahu saya ada peluang untuk menang. Nampak macam itu lah," katanya pada sidang media selepas selesai Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam. hari ini.

Perhimpunan kali pertama itu selepas diberikan amaran oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) itu disertai seramai 941 perwakilan dari 137 bahagian parti berkenaan di seluruh negara.

Hadir sama, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Presiden Pakatan Harapan (PH) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Terdahulu, Mahathir ketika sesi penggulungan menyalahkan dan menggelar mufti sebagai kafir sehingga menyebabkan berlaku tragedi Memali, Baling, Kedah pada 1985.

"Ia berikutan sikap berdiam diri mufti yang tidak menyangkal amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan mereka yang tidak menyertai PAS adalah kafir.

"Sehingga amanat Abdul Hadi dikeluarkan, ia menjadikan seorang individu dikenali Ibrahim Libya menggunakan senjata untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan PPBM sudah memutuskan sebarang rundingan dan hubungan dengan PAS.

"Namun, kita mengalukan mana-mana ahli yang keluar dari parti itu untuk menyertai PH," katanya.

Sebelum merasmikan perhimpunan itu tengah hari tadi, beliau turut sempat membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesalahannya sepanjang berkecimpung dalam dunia politik sejak 1945.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 8:45 PM