Vicky Nur Habibah membeli kelengkapan persekolahan sebaik cuti bermula di Pasar Larkin di sini. FOTO OMAR AHMAD
Vicky Nur Habibah membeli kelengkapan persekolahan sebaik cuti bermula di Pasar Larkin di sini. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru : Cuti sekolah yang bermula semalam, memberi peluang ibu bapa untuk mencari kelengkapan persekolahan anak mereka sebelum kemasukan sesi baru pada 2023/2024 pada 19 Mac depan.

Tinjauan di Pasar Larkin, di sini, mendapati ibu bapa mula mengambil langkah awal, agar tidak kelam kabut berikutan cuti yang singkat.

Kerani, Nur Liyana Samsuddin, 35 berkata, harga seragam sekolah dan barang kelengkapan lain seperti stokin, anak tudung dan lain-lain pada kadar yang berpatutan dan masih mampu dibeli.

Katanya, dia membeli dua pasang baju kurung sekolah, sehelai tudung dan beberapa kelengkapan lain untuk anaknya masuk ke tahun satu pada harga RM103.

"Saya memang cari baju sekolah anak pada waktu cuti, sebab saya dan suami bekerja. Inilah waktu kami untuk membeli kelengkapan sekolah kerana 19 Mac nanti sekolah akan dibuka untuk sesi berikutnya.

"Berkaitan harga seragam sekolah, pada saya banyak pilihan, harga bergantung kepada kualiti dan jenama.

"Saya memilih untuk beli siap seragam sekolah anak kerana jika hendak tempah, ramai tukang jahit yang sudah menutup tempahan kerana tarikh naik sekolah berdekatan dengan bulan Ramadan dan Aidilfitri," katanya.

Pandangan sama dikongsi, Suri Rumah, Vicky Nur Habibah Ngasiandi, 33 yang turut membuat persiapan kelengkapan sekolah buat dua anaknya berusia tujuh dan 10 tahun.

Dia lebih gemar membeli di kedai biasa berbanding pasar raya besar.

"Harga di kedai biasa di sini, kita boleh tawar menawar berbanding harga tetap di pasar raya besar.

"Setakat ini, harga kelengkapan sekolah anak masih boleh dibeli dan tidak membebankan.

"Ada banyak pilihan kain, jenama yang dijual dengan harga yang berbeza," katanya.

Pada 10 Disember tahun lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sesi persekolahan bagi kalendar akademik Sesi 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi sekolah di negeri Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu).

Manakala, pada 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi sekolah di negeri Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).

Pembukaan sesi persekolahan sebelum ini, dijadual bermula 12 dan 13 Mac 2023 bagi sekolah Kumpulan A dan Kumpulan B.

Namun, KPM bertindak menangguhkan selama seminggu pembukaan sekolah kepada tarikh baharu iaitu 19 dan 20 Mac 2023 bagi memastikan pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 1:31 PM