KEBANYAKAN ibu bapa terbeban dengan kenaikan kos kira-kira 30 peratus untuk membeli pelbagai kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan beg . - Gambar hiasan
KEBANYAKAN ibu bapa terbeban dengan kenaikan kos kira-kira 30 peratus untuk membeli pelbagai kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan beg . - Gambar hiasan
KEBANYAKAN ibu bapa terbeban dengan kenaikan kos kira-kira 30 peratus untuk membeli pelbagai kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan beg . - Gambar hiasan
KEBANYAKAN ibu bapa terbeban dengan kenaikan kos kira-kira 30 peratus untuk membeli pelbagai kelengkapan sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan beg . - Gambar hiasan
PERBINCANGAN bersama ibu bapa, sekolah dan PIBG penting bagi mengelak konflik. - Gambar hiasan
PERBINCANGAN bersama ibu bapa, sekolah dan PIBG penting bagi mengelak konflik. - Gambar hiasan
PIHAK sekolah perlu memberi panduan kepada ibu bapa untuk membeli hanya buku penting bagi mengelak pembaziran. - Gambar hiasan
PIHAK sekolah perlu memberi panduan kepada ibu bapa untuk membeli hanya buku penting bagi mengelak pembaziran. - Gambar hiasan
PERBELANJAAN pembelian buku di koperasi sekolah boleh dikurangkan dengan hanya membeli buku penting terlebih dulu. - Gambar hiasan
PERBELANJAAN pembelian buku di koperasi sekolah boleh dikurangkan dengan hanya membeli buku penting terlebih dulu. - Gambar hiasan
Oleh Ruhaiza Rusmin


Hari ini bermulalah sesi persekolahan baru. Namun cerita ibu bapa yang terpaksa berbelanja besar untuk membuat persiapan persekolahan anak masih diperkatakan.

Kenaikan harga barang dan belanja persiapan persekolahan anak melebihi kemampuan ternyata memberi tekanan kepada ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Lebih memeningkan apabila si anak turut membawa pulang senarai panjang bayaran yuran serta pembelian buku tulis dan latihan yang perlu dibayar kepada pihak sekolah pada hari pertama persekolahan.

Biarpun ada suara sumbang menyalahkan ibu bapa kononnya tidak bijak membuat perancangan perbelanjaan persekolahan anak, mereka perlu akur bukan semua golongan mampu, apatah lagi jika mempunyai ramai zuriat yang masih bersekolah.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, peningkatan kos perbelanjaan persekolahan pelajar tidak dapat dielakkan, namun sikap bertimbang rasa sekolah boleh membantu mengurangkan bebanan ibu bapa.

Menurutnya, pengecualian sementara bayaran tertentu atau tidak menekankan pembelian segera buku tulis dan latihan boleh meringankan beban ibu bapa dengan menyediakan kelengkapan penting terlebih dulu.

“Setiap kali sekolah dibuka, ibu bapa pasti berdepan tekanan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan, terutama golongan berpendapatan rendah atau mempunyai ramai anak bersekolah.

“Hari ini ibu bapa bukan saja dibebankan dengan harga barangan seperti pakaian, peralatan menulis dan sebagainya yang makin mahal, malah turut tersepit dengan pelbagai bayaran yang ditetapkan pihak sekolah.

“Justeru, persefahaman antara kedua-dua pihak (sekolah dan ibu bapa) boleh membantu mengurangkan bebanan ini,” katanya.

Menurutnya, pengecualian sementara pembayaran tertentu boleh membantu melegakan seketika bebanan ibu bapa menyediakan peruntukan persekolahan.

“Misalnya yuran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) boleh ditangguhkan dulu bagi memberi laluan kepada bayaran lain yang lebih penting.

“Jika ibu bapa ‘dipaksa’ membuat bayaran sekali gus, bebanan kewangan mereka pasti terasa sedangkan ia boleh diberi pengecualian seketika mengikut budi bicara sekolah,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian rambang penulis, bayaran yuran PIBG di kebanyakan sekolah di Lembah Klang kini sekitar RM50 berbanding RM40 tahun lalu.

Jumlah berkenaan berbeza mengikut kategori sekolah, manakala anggaran minimum yang perlu disediakan ibu bapa untuk seorang anak adalah antara RM200 hingga RM250 bagi sekolah rendah dan meningkat di peringkat sekolah menengah atau berasraman penuh.

Mengulas mengenainya, Mohd Yusof berkata, perkara itu sukar dielak kerana setiap sekolah ada perancangan masing-masing bagi mengisi jadual sepanjang tahun.

“Sama ada suka atau tidak, PIBG ada hak untuk menetapkan yuran kepada ibu bapa berdasarkan perancangan sepanjang sesi persekolahan berlangsung.

“Yuran ini penting kerana ia digunakan untuk menggerakkan aktiviti sekolah seperti kelas tambahan, hari anugerah kecemerlangan dan sebagainya.

“Bagaimanapun, bukan ibu bapa tidak tahu kepentingan yuran PIBG, cuma mereka meminta bayarannya ditangguhkan sementara bagi memberi peluang untuk melunaskan dulu keutamaan lain yang lebih penting bagi pembelajaran dan pengajaran anak,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada sekolah bertolak ansur dalam hal ini, tetapi ada juga sebaliknya.

“Isu yuran PIBG sebenarnya terletak pada budi bicara sekolah tapi pendapat saya, kalau boleh bertolak ansur itu lebih baik.

“Bukan semua ibu bapa mampu kerana selain persekolahan anak, mereka juga ada komitmen lain perlu dilangsaikan seperti bayaran ansuran rumah, kereta, belanja isi rumah dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut mengulas rungutan ibu bapa yang seolah-olah ‘dipaksa’ membeli pelbagai buku latihan dan rujukan yang ditetapkan pihak sekolah.

Katanya, ibu bapa perlu diberi penjelasan supaya hanya membeli buku yang benar-benar perlu supaya tidak berlaku pembaziran.

“Ada segelintir ibu bapa menganggap senarai pembelian buku yang dicatatkan pihak sekolah semuanya penting sedangkan hanya beberapa buku digunakan sepanjang tahun.

“Ini pembaziran yang dapat dielakkan jika sekolah memberi panduan pembelian kepada ibu bapa.

“Beli hanya buku latihan dan rujukan yang penting, selebihnya boleh dibeli jika ada keperluan,” katanya.

Yuran PIBG bantu pelajar, sekolah

Kenaikan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak dapat dielakkan bagi mengurangkan beban pihak sekolah menanggung kos lebih besar untuk pembelajaran dan pengajaran murid.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Utama dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Roslan Ismail berkata, walaupun kenaikan yuran itu diakui akan membebankan ibu bapa terutama yang ada ramai anak bersekolah, mereka juga perlu melihat kepentingan yuran itu.

“Saya tak nafikan yuran PIBG agak membebankan kepada segolongan ibu bapa, tapi sebenarnya ia untuk kebaikan pelajar juga.

“Duit yang dikutip itu bukan digunakan sesuka hati, sebaliknya dilaburkan untuk kebaikan pelajar, misalnya menganjurkan pelbagai aktiviti kecemerlangan serta kem motivasi dan akademik.

“Sekolah ‘memulangkan’ semula yuran itu dalam bentuk kejayaan pelajar seperti yang diharapkan ibu bapa,” katanya.

Katanya, bayaran RM50 untuk setiap pelajar dianggap rasional kerana ia digunakan untuk menjayakan aktiviti sepanjang tahun.

Saya yakin RM50 mampu dibayar ibu bapa dan kebanyakan sekolah juga sudah memberi kelonggaran kepada pelajar untuk membuat bayaran secara berperingkat.

“Dalam kes tertentu, pengecualian turut diberikan selepas sekolah meneliti latar belakang kewangan ibu bapa. Kami tidak kejam untuk membebankan mereka dengan tuntutan bukan-bukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 9:24 AM