Suraya bersama Abdul Fattah (empat dari kanan) ketika mengadakan lawatan di tapak Projek Solar Farm Angkasa di Titi Akar, Sungai Tiang, Pendang. FOTO Nur Syazwana Mansor.
Suraya bersama Abdul Fattah (empat dari kanan) ketika mengadakan lawatan di tapak Projek Solar Farm Angkasa di Titi Akar, Sungai Tiang, Pendang. FOTO Nur Syazwana Mansor.
Nur Syazwana Mansor


ANAK Syarikat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), MyAngkasa Holding Sdn Bhd mensasarkan keuntungan RM1 juta setahun melalui Projek Solar Farm Angkasa pertamanya di Titi Akar, Sungai Tiang, Pendang.

Presidennya ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, projek solar itu juga yang pertama di Kedah yang bermula pada Oktober tahun lalu bakal beroperasi secara rasmi pada 31 Disember ini.

"Selepas membuat pemantauan dan kajian kami memilih kawasan ini sebagai lokasi untuk projek ini.

"Ia dibangunkan di kawasan seluas 1.2 hektar dengan kos RM 9.7 juta dan kita mengadakan perjanjian selama 21 tahun bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membekal tenaga solar kepada mereka dalam tempoh itu," katanya ketika mengadakan lawatan di tapak Projek Solar Farm Angkasa, Sungai Tiang,harii ini.

Menurutnya, projek itu mampu menjana tenaga solar 1 megawatt sejam dengan bayaran sebanyak 97 sen perkilowatt.

"Solar Farm ini akan beroperasi selama tiga hingga empat jam sehari dengan kadar keuntungan RM3,000 hingga RM4,000 sehari.

"Kita sasar keuntungan sebanyak RM 90,000 sebulan dan RM1 juta setahun," katanya.

Abdul Fattah berkata, tenaga solar terbabit dijangka dapat digunakan penduduk di sekitar kawasan Pendang dan memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk di daerah itu.

"Tenaga solar ini boleh disalurkan kepada penduduk di kawasan berdekatan dengan kawasan ladang solar ini," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

Sementara itu Suraya berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian bagi mengenalpasti jenis sektor pertanian atau penternakan lain yang boleh diusahakan di kawasan terbabit.

"Selain ladang solar, kawasan ini juga boleh dimajukan untuk pertanian dan pelancongan kerana ia adalah ladang solar pertama di negeri ini.

"Kita bercadang untuk mengusahakan sektor pertanian atau penternakan di sini bagi memaksimumkan penggunaan tanah di kawasan ini sekali gus memberi pendapatan sampingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 6:27 PM