FELDA membuat laporan polis susulan cubaan pihak tertentu mempengaruhi peneroka Felda Wilayah Raja Alias di Jempol, untuk menjual tanah mereka. FOTO Arkib NSTP
FELDA membuat laporan polis susulan cubaan pihak tertentu mempengaruhi peneroka Felda Wilayah Raja Alias di Jempol, untuk menjual tanah mereka. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENGURUSAN Felda membuat laporan polis, hari ini susulan cubaan pihak tertentu mempengaruhi peneroka Felda Wilayah Raja Alias di Jempol, Negeri Sembilan untuk menjual tanah mereka.

Laporan polis dibuat Pengarah Jabatan Pengurusan Aset dan Hartanah (JPAH) Felda, Ridzuan Mohd Noor dan Ketua Unit Undang-undang Felda, Abbas Nejamdeen di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Felda dalam kenyataan berkata, pihaknya membuat laporan polis bagi melindungi kepentingan Felda dan warga peneroka Wilayah Raja Alias yang didekati individu tidak dikenali mewakili sebuah syarikat bagi tujuan membeli tanah mereka.

"Situasi ini bermula daripada beberapa sesi perjumpaan dengan warga peneroka bermula pada Mac lalu tanpa mendapat kebenaran Felda.

"Syarikat berkenaan kemudian menghantar sepucuk surat melalui peguam mereka kepada Felda dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad sambil menyatakan minat mengambil alih tanah ladang peneroka Felda Wilayah Raja Alias untuk satu projek pembangunan bersepadu," katanya.

Menurut kenyataan itu, Felda kemudian menghantar surat maklum balas kepada syarikat berkenaan pada Julai lalu sekali gus menolak hasrat syarikat terbabit berkaitan projek yang ingin dilaksanakan.

"Felda juga mengarahkan syarikat berkenaan untuk menghentikan sebarang ceramah, sesi penerangan atau apa-apa aktiviti di kawasan rancangan-rancangan Felda.

"Namun, masih terdapat individu yang disyaki mewakili syarikat itu ingkar dan tetap menjalankan aktiviti perjumpaan tanpa mendapatkan kebenaran pengurus-pengurus rancangan," katanya.

Menurutnya, Felda juga mendapat maklumat bahawa individu terbabit cuba memujuk sehingga memaksa peneroka bersetuju dengan hasrat mereka.

Katanya, mereka juga memberikan janji-jani di luar kebiasaan aktiviti jual beli yang dirasakan agak mustahil untuk dilaksanakan.

"Felda menasihati semua peneroka supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan sebarang tawaran lumayan dari syarikat luar sebelum merujuk kepada Felda.

"Terdapat kes-kes sebelum ini di mana peneroka berputih mata akibat kehilangan tanah dan tidak menerima tawaran seperti dijanjikan sehingga terpaksa hidup dalam kesusahan," katanya.

Terdahulu, peneroka Felda Wilayah Raja Alias dilaporkan bakal bergelar jutawan apabila tanah ladang milik mereka akan dibeli dan dimajukan sebagai bandar aeroangkasa dan bandar berkembar dengan Istanbul, Turki.

Ini berikutan sebuah syarikat bersama pelabur dari Turki bercadang membangunkan tanah milik peneroka dengan pelbagai projek termasuk membina lapangan terbang kargo antarabangsa dan akademi penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 9:21 PM