BAHARUDDIN  memecahkan set komputer judi yang dirampas.
BAHARUDDIN memecahkan set komputer judi yang dirampas.
Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Polis Daerah Sepang akan terus mempergiatkan usaha dan tindakan tegas bagi membanteras aktiviti perjudian di sekitar daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya mengambil berat kegiatan itu, malah turut mengenal pasti tempat tertentu diklasifikasikan sebagai kawasan panas aktiviti perjudian.

“Kami mengenal pasti tiga hingga empat kawasan (panas aktiviti perjudian) di daerah Sepang, namun tidak dapat mendedahkannya pada masa ini.

“Justeru, tindakan akan terus dibuat bagi membanteras kegiatan ini walaupun aktiviti perjudian itu dilakukan secara ‘curi-curi’,” katanya pada sidang media pada majlis pelupusan unit komputer perjudian di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 1,700 set komputer perjudian dengan anggaran nilai RM215,000 dilupuskan selepas mendapat kelulusan Mahkamah Majistret Sepang.

Katanya, semua set komputer yang dilupuskan itu diperoleh menerusi 1,200 serbuan di premis sekitar daerah ini bermula Januari hingga Disember 2015.

“Menerusi serbuan itu juga, seramai 133 penjaga premis dan penganjur aktiviti perjudian ditahan dan sebanyak 141 kertas siasatan dibuka manakala, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 128 kertas siasatan sudah selesai pertuduhan di Mahkamah Sepang,” katanya.

Pada masa sama, Baharuddin berkata, menerusi undang-undang Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh berdepan penjara sehingga lima tahun serta denda sehingga RM200,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 7:25 AM