PENGARAH Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim, Adam Aziz (dua dari kiri) bersama mangsa bot hanyut yang berjaya diselamatkan membaca doa pada sidang media susulan kejadian bot pancing yang rosak di perairan Menggalum. FOTO Lano Lan
PENGARAH Maritim Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim, Adam Aziz (dua dari kiri) bersama mangsa bot hanyut yang berjaya diselamatkan membaca doa pada sidang media susulan kejadian bot pancing yang rosak di perairan Menggalum. FOTO Lano Lan
Fardy Bungga


TUJUH daripada sembilan pemancing yang hanyut selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Mengalum sejak Ahad lalu ditemui selamat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Mangsa pertama, Nordin Majuki, 38, ditemui terapung di kedudukan lima batu nautika dari Pulau Mantanani Kecil, pada 2.20 petang.

Enam lagi rakannya yang berenang lebih 10 kilometer ke Pulau Mantanani berjaya sampai ke pulau berkenaan kira-kira 7 malam sebelum dibantu pengawal keselamatan Remote Sensor Site (RSS) yang menghubungi APMM untuk bantuan segera.

Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, pihaknya masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Iman@Dimas Tampas, 50-an dan Moso Nasi, 25 tahun.

Katanya, mangsa yang ditemui selamat ialah Nordin, Saudi Saldi, 28, Noradin Bihi, 33, Tadura Subing, 35, Abdul Si Misil, 52, Razpauzi Nasi, 35 dan Rubi Akpara, 50.

“Mengikut maklumat yang diperoleh, Nordin bersama Iman dan Moso cuba mendapatkan bantuan di Pulau Gaya menggunakan bot kecil tanpa enjin, namun usaha mereka terbantut apabila bot berkenaan karam.

“Manakala enam lagi hanyut selama lima hari sehingga ke perairan Pulau Mantanani sebelum mengambil keputusan untuk berenang menggunakan rakit yang dibina dari pelampung ke pulau berkenaan,” katanya pada sidang media, di Pejabat APMM Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, Nordin kini masih dirawat di Hospital Queen Elizebeth akibat mengalami kekejangan manakala mangsa lain dibenarkan pulang.

Dalam kejadian Rabu lalu, Kapal Dagang MV Nur Amanah memaklumkan kepada APMM sebuah bot nelayan hanyut di kedudukan kira-kira 11 batu nautika timur, Pulau Mengalum.

Kapten kapal dagang itu memberitahu terserempak dengan sebuah bot nelayan yang meminta bantuan dan difahamkan bot berkenaan sudah hanyut selama 3 hari akibat kerosakan enjin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 3:36 PM