BOT dinaiki mangsa yang dikhuatiri hilang ketika keluar memancing. FOTO ihsan APMM
BOT dinaiki mangsa yang dikhuatiri hilang ketika keluar memancing. FOTO ihsan APMM
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Seramai 13 pemancing termasuk tekong dan dua awak-awak dikhuatiri hilang di perairan Pulau Mantanani dan Pulau Mengalum, dekat sini, selepas tidak pulang petang semalam.

Semua pemancing itu dipercayai keluar memancing dari Jeti Lembaga Pemasaran Ikan Sabah (Safma), di sini, kira-kira jam 10 pagi, Jumaat lalu dan sepatutnya pulang ke Kota Kinabalu 1 tengah hari semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya yang menerima maklumat daripada polis kemudian mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 8.30 malam tadi.

"Berdasarkan maklumat polis, terdapat 13 mangsa termasuk satu tekong dan dua awak-awak keluar memancing di perairan Pulau Mantanani dan Pulau Mengalum dan semua mereka dijadualkan kembali petang tadi namun masih belum tiba dan gagal dihubungi.

"Kita sudah menggerakkan kapal APMM untuk mengesan bot berkenaan tetapi sehingga kini belum menemui mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi SAR turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

 

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 7:49 AM