BOT nelayan yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Pulau Pangkor, Lumut, semalam. Foto Ihsan MARITIM MALAYSIA
BOT nelayan yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Pulau Pangkor, Lumut, semalam. Foto Ihsan MARITIM MALAYSIA
Noor Hidayah Tanzizi

EMPAT kru warga Myanmar bersama bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira 6.2 batu nautika dari Barat Daya Pulau Pangkor, Lumut, semalam.

Dalam kejadian pada 9.25 pagi, mereka ditahan atas kesalahan melanggar syarat sah lesen.

Daerah Maritim 3 Lumut dalam kenyataannya berkata, semua ditahan membabitkan seorang tekong dan tiga awak-awak berusia antara 21 hingga 43 tahun.

Menurutnya, mereka ditahan sepasukan anggota diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd Fahimi Omar dari kapal maritim Marlin ketika melakukan rondaan dan penguat kuasaan di perairan negara.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika.

"Turut didapati, dua awak-awak warga asing itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, manakala tekong dan seorang lagi awak-awak memiliki E-Kad pekerja asing," katanya.

Katanya, bot bersama kru berkenaan kemudian diiringi ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan dan kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imgiresen 1959/63.

"Maritim Malaysia akan bertindak tegas terhadap bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan dan mengaji warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 10:29 AM