Ahmad Razif memaklumkan kerajaan negeri sedia memberikan peruntukan tambahan bagi menangani kawasan yang terhakis. FOTO Mohd Syafiq Ambak
Ahmad Razif memaklumkan kerajaan negeri sedia memberikan peruntukan tambahan bagi menangani kawasan yang terhakis. FOTO Mohd Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


KERAJAAN Pusat akan menyalurkan sebanyak RM90 juta bentuk tangani masalah hakisan di Pantai Mengabang Telipot, Kuala Nerus.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan itu akan disalurkan sebaik sahaja kajian mengenainya selesai untuk kerja-kerja membaik pulih kawasan hakisan sepanjang enam kilometer.

"Saya dimaklumkan kajian yang mula dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bermula awal Januari lalu sudah berada di peringkat akhir.

"Kajian sedang berjalan dan kita serah kepada JPS untuk menentukan bentuk penyelesaian yang bersesuaian bagi menangani hakisan yang berlaku ini.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kita sudah menyalurkan peruntukan segera sebanyak RM2 juta untuk kerja-kerja menangani hakisan yang sedang berlaku membabitkan kerja-kerja melindungi kawasan pantai daripada terus terjejas," katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan hakisan di Pantai Kolam, hari ini.

Ahad lalu, laluan utama di kampung berkenaan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan selepas mengalami kejadian tanah runtuh dibadai ombak besar hampir tiga meter.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga bersedia memberi peruntukan tambahan bagi menangani hakisan yang teruk ketika ini.

Katanya, kerajaan negeri bersedia memberi peruntukan tambahan sekiranya peruntukan segera RM2 juta yang disalurkan tidak mencukupi.

"Saya juga dimaklumkan JPS akan menghantar satu pasukan pakar kejuruteraan pantai bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlarutan sejak tiga tahun lalu di Mengabang Telipot itu.

"Pasukan ini akan meninjau bagi mengenal pasti punca hakisan dalam masa terdekat ini.

"Orang ramai juga jangan jadikan hakisan pantai sebagai tapak pesta.

"Dalam hal ini, saya sudah minta polis dan agensi berkaitan untuk mengawal lokasi ini bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 10:01 PM