Mustafar  (kanan) mengadakan lawatan di Kompleks Jabatan Imigresen dan Kastam Sungai Tujuh.
Mustafar (kanan) mengadakan lawatan di Kompleks Jabatan Imigresen dan Kastam Sungai Tujuh.
Mohd Rizal Abdullah


Bekenu: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melakukan siasatan dari pelbagai perspektif terhadap empat kakitangannya dipercayai terbabit dalam penyeludupan warga Bangladesh ke Malaysia.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata siasatan merangkumi pelbagai perspektif termasuk penyeludupan migran.

Menurutnya, siasatan bukan hanya menumpukan kepada satu sudut sahaja, tetapi pelbagai sudut kerana ia membabitkan kumpulan sindiket.

“Tindakan dilakukan bagi ‘memutuskan rantaian kesalahan’ sekiranya mereka terbabit dalam kegiatan ini,” katanya ketika ditemui di Depot Tahanan Imigresen Bekenu, semalam

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan status terkini keempat-empat kakitangan berkenaan sama ada ‘direhatkan’ dari bertugas ataupun sebaliknya.

“Siasatan masih dijalankan terhadap semua kakitangan ini,” katanya.

Laporan eksklusif Harian Metro sejak 7 Disember lalu mendedahkan sindiket dikuasai warga Bangladesh memperoleh RM5.2 juta setahun, hasil daripada aktiviti menyeludup rakan senegara melalui KLIA.

Sindiket terbabit dikatakan mengenakan bayaran RM15,000 hingga RM20,000 setiap seorang termasuk wang ‘pelincir’ kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai JIM serta pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka.

Op Pintas KLIA yang dilancarkan oleh Bahagian Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Bukit Aman selepas risikan selama hampir tujuh bulan dilakukan bersama Skuad Khas HM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 7:54 AM