Tiga pegawai Imigresen ditahan polis kerana terbabit dengan penyeludupan migran.
Tiga pegawai Imigresen ditahan polis kerana terbabit dengan penyeludupan migran.
Skuad Khas Harian Metro

TIGA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tiga pegawai JIM itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah khas) 2012 (SOSMA) selepas dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman, Ahad lalu.

Skuad Khas Harian Metro dimaklumkan, kenyataan mengenai penahanan pegawai JIM akan dikeluarkan Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali sedikit masa lagi.

Harian Metro juga sedang mendapatkan ulasan mengenai penahanan berkenaan dari Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Bermula 7 Disember lalu, Harian Metro melaporkan kejayaan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) D7C Bukit Aman menahan 11 ahli sindiket termasuk 33 migran Bangladesh dalam Op Pintas KLIA.

Serbuan berkenan dilakukan selepas risikan dilakukan D7C dan Harian Metro selama tujuh bulan.

Laporan itu mendedahkan empat sindiket besar didalangi warga Bangladesh iaitu Rasel, Mutalab, Nil Chan dan Maasom menguasai KLIA dalam kegiatan haram berkenaan.

Empat sindiket itu dibawa masuk dengan bantuan pegawai imigresen yang bertugas di KLIA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 1:40 PM