Dua pegawai JIM yang dituduh dalang kegiatan penyeludupan migran Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Dua pegawai JIM yang dituduh dalang kegiatan penyeludupan migran Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


DUA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas tuduhan penyeludupan migran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang masing-masing pada 20 November dan 6 Disember tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh dikenali sebagai Abd Faiz Hannan Ibrahim, 24, dan Adly Affandy Abdul Rahim, 34, didapati melakukan kesalahan itu di Kaunter Kawalan Masuk Udara, Aras 3, Balai Ketibaan, KLIA.

Tertuduh pertama, Abd Faiz berasal dari Penampang, Sabah dituduh menyeludup migran warga Bangladesh, Abdul Momen di lokasi sama kira-kira jam 10.30 pagi pada 20 November lalu.

Manakala, Adly Affandy yang berasal dari Semenyih pula dituduh melakukan kesalahan sama di lokasi sama antara jam 8.30 hingga 9.30 pagi pada 6 Disember tahun lalu kerana menyeludup dua imigran warga Bangladesh iaitu Md Mosarof dan Ashabul Haque.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said, kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Saifulakmal kemudian menetapkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor selepas membenarkan permintaan Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail.

Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan untuk pindaan kes berkenaan.

Abd Faiz tidak diwakili peguam manakala, Adly Affandy pula diwakili peguam bela Zafran Zafri Mohd Zaini.

Sementara itu, Zafran berkata, anak guamnya tidak boleh diikat jamin kerana terikat dengan aturan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) (SOSMA).

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di Mahkamah Sepang kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

Turut sama mengikuti prosiding berkenaan termasuk ahli keluarga Adly Affandi.

Harian Metro pada 17 Januari lalu melaporkan, tiga pegawai JIM ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut SOSMA kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran.

Menurut sumber, seorang lagi pegawai imigresen yang ditahan tetapi tidak didakwa akan diserahkan kepada JIM untuk dikenakan tindakan tatatertib.

Empat dalang utama iaitu Rasel, Mutalab, Nil Chan dan Maasom yang juga digelar sebagai Raja Seludup itu dilapor memperoleh laba RM5.2 juta setahun turut berjaya dikenal pasti hasil risikan berkenaan.

Sindiket dikuasai empat warga Bangladesh itu dilapor mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi setiap orang migran yang diseludup ke negara ini.

Hasil siasatan juga mendapati, RM3,500 hingga RM4,000 diberikan sindiket kepada pegawai imigresen di KLIA untuk melepaskan migran Bangladesh ketika melalui pemeriksaan di pintu masuk utama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 4:41 PM