Anggota bomba dan penyelamat memadam kebakaran di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall hari ini. FOTO BERNAMA
Anggota bomba dan penyelamat memadam kebakaran di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bekalan elektrik yang terganggu susulan kebakaran Pencawang Masuk Utama (PMU) di Mid Valley Megamall, di sini, hari ini berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 12.30 tengah hari, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Pegawai Gridnya, Ir Dev Anandan dalam kenyataan berkata, pemeriksaan TNB mendapati PMU itu terpelantik pada 10.27 pagi dan bekalan terputus mulai 10.51 pagi.

"TNB berjaya memulihkan bekalan kepada sebahagian besar pengguna seawal empat minit gangguan berlaku pada kejadian kebakaran PMU Mid Valley pagi ini. "Tindakan pantas pasukan teknikal TNB telah dapat memulihkan bekalan elektrik seawal 10.55 pagi," katanya.

Menurutnya, gangguan bekalan itu membabitkan kawasan terhad sekitar Mid Valley serta sebahagian Desa Pantai, dan bekalan elektrik dipulihkan secara berperingkat dengan majoriti kawasan mendapat bekalan masing-masing dalam tempoh satu setengah jam.

Katanya, sistem pengangkutan di KL Sentral tidak terjejas kerana mendapat punca bekalan yang berbeza.

"TNB mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atas bantuan memadamkan kebakaran. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna terlibat," katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline dengan menelefon 15454.

Terdahulu, beberapa rakaman video mengenai kebakaran di PMU di Mid Valley Megamall yang menampakkan kepulan asap hitam tebal menjadi tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 5:12 PM