MAHDZIR (dua kanan) menyerahkan replika cek kepada Wan Rosdy pada kunjungan hormat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini. FOTO ihsan TNB
MAHDZIR (dua kanan) menyerahkan replika cek kepada Wan Rosdy pada kunjungan hormat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini. FOTO ihsan TNB
Asrol Awang


Kuantan: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang sejumlah RM250,000 kepada Kerajaan Pahang bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Sumbangan disampaikan Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada kunjungan hormat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Sumbangan itu sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB bagi meringankan beban mangsa banjir yang terjejas teruk.

Pengerusi TNB itu berada di Pahang hari ini bagi lawatan kerja termasuk menghadiri taklimat situasi banjir di Stesen Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuantan Utara.

Dalam kenyataan media, Mahdzir berkata, TNB menutup sejumlah 306 pencawang elektrik di Pahang sejak bencana banjir melanda negeri itu.

Katanya, Temerloh antara daerah yang teruk terjejas, dengan mencatat jumlah paling tinggi iaitu 65 pencawang ditutup.

"Tenaga Nasional berusaha memperbaiki atau mendapatkan semula bekalan elektrik di semua kawasan di semua daerah terbabit dengan banjir ini.

"Tindakan menutup pencawang itu perlu untuk memastikan keselamatan pengguna dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

"TNB juga mengambil langkah tambahan dengan membekalkan set generator ke kawasan yang terjejas banjir termasuk di pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa semua kawasan mengalami masalah bekalan elektrik.

Sebaliknya, katanya, TNB hanya menutup pencawang di kawasan yang terjejas banjir saja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 7:23 PM