Icka S Hassan

Shah Alam: Sasaran menurunkan berat badan sebanyak 20 kilogram dalam masa setahun mendorong Nor Azlin Mohamad Nordin, 42, mencabar diri menyertai larian santai Malaysia Women Marathon 2016 anjuran Tourism Selangor yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, semalam.

Menurutnya, dia berjaya menghabiskan larian sejauh lima kilometer (km) itu dalam tempoh 1 jam 15 minit walaupun terpaksa berjalan beberapa meter sebelum garisan penamat.

Katanya, pembabitannya dalam aktiviti larian seperti itu memberi impak positif apabila tubuh badannya lebih cergas dan sihat.

“Selain mempunyai keinginan untuk mendapatkan bentuk badan idaman, penyertaan ini juga mendorong diri saya membuang rasa kurang keyakinan diri yang menyelubungi diri untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Sebenarnya ini penyertaan kedua dalam aktiviti larian santai dan penyertaan pertama saya adalah pada Januari lalu membabitkan larian tiga kilometer saja.

“Sebelum menyertai larian ini, saya turut mengikuti kelas kesihatan sebagai persediaan,” katanya ditemui selepas program itu semalam.

Program yang disertai 4,000 peserta itu mempunyai tiga kategori iaitu larian membabitkan jarak 42km, 21km, 10km dan 5km.

Pelepasan dilakukan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu Nor Azlin berkata, walaupun tersasar daripada masa yang ditetapkan, dia puas kerana berjaya menamatkan larian seterusnya boleh menjadi inspirasi kepada wanita berbadan besar supaya sentiasa berfikiran positif.

“Keyakinan diri antara masalah yang sering dihadapi golongan berbadan besar kerana kami dicemuh dan dianggap menyusahkan kerana lambat dalam melakukan sesuatu.

“Namun, saya membuktikan kurus atau gemuk tiada bezanya cuma usaha, rajin dan sentiasa mahu majukan diri boleh mengubah nasib seseorang itu,” katanya.

Sementara itu Pengarah program Karen Loh berkata, penganjuran kali keempat itu bukan sekadar untuk mengumpulkan pelari wanita yang aktif bermaraton tetapi turut menarik lebih ramai penyertaan supaya budaya hidup sihat menjadi amalan dalam masyarakat negara ini.

“Program hari ini (semalam) membabitkan penyertaan paling ramai sejak larian ini diadakan pada 2012 apabila lebih 4,000 peserta menyertainya.

“Mereka berlari dengan menggunakan baju merah jambu sempena Bulan Wanita Sedunia,” katanya.

Menurutnya, semua peserta turut menerima medal dan sijil penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 9:36 AM