Anggota bomba mengangkat mayat Lam yang ditemui terapung di kawasan jeti pelantar ikan nelayan Kuala Kedah, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Anggota bomba mengangkat mayat Lam yang ditemui terapung di kawasan jeti pelantar ikan nelayan Kuala Kedah, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI yang hilang selepas terjatuh dari bot ketika memancing di pelantar ikan Kuala Kedah, Sabtu lalu, ditemui lemas di jeti itu hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja Mohd Firdaus Isa berkata, mayat Lam Yat Seng, 39, ditemui 3.32 petang kira-kira 50 meter dari pusat kawalan bomba berhampiran lokasi mangsa terjatuh.

Menurutnya, mayat ditemui nelayan ketika menghidupkan enjin botnya selepas dua hari tersadai di situ sebelum menghubungi pasukan penyelamat.

"Ketika ditemui keadaan mayat tidak berbaju serta hanya berseluar pendek dan kita serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dihubungi hari ini.

Mohd Firdaus berkata, operasi hari ketiga pencarian mangsa dilakukan sejak 7.30 pagi tadi dengan diperluaskan sehingga tiga batu nautika dari tempat mangsa terjatuh.

Operasi katanya, disertai enam anggota dari BBP Jalan Raja, tiga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan lapan anggota dari Balai Polis Kuala Kedah.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi Sabtu lalu, Lam dikatakan sedang memancing di pelantar ikan sebelum berlaku air pasang menyebabkan dia terjatuh ke muara Kuala Kedah yang pada kedalaman kira-kira 10 meter.

Berikutan itu, operasi mencari dan mengesan mangsa dilakukan pasukan penyelamat pada hari kejadian namun gagal menemui petunjuk sehingga mayatnya ditemui hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 7:42 PM