ANGGOTA bomba menjalankan operasi pencarian nelayan yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi pencarian nelayan yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika mencuci mukanya di Jeti Sungai Nipah, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.42 petang.

Beliau berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, seorang lelaki berusia 40-an dikatakan terjatuh ketika mencuci muka di jeti muara.

"Berikutan itu, operasi segera dijalankan dengan kerjasama Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) BBP Shah Alam dan Pelabuhan Klang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya bagaimanapun belum berjaya mengesan mangsa setakat ini.

"Operasi berkenaan terpaksa dihenti dan ditangguhkan sementara pada petang tadi.

"Pencarian di sekitar lokasi kejadian akan disambung semula pada pagi esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 10:09 PM