Mohd Hilmie Hussin


WANITA warga Kenya dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan ugutan bunuh ke atas keluarga majikannya, Ogos lalu.

Tertuduh, Skeetar Rigine Lameck, 36, membuat pengakuan itu di depan Majistret Mohd Firdaus Saleh, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah akan membunuh isteri majikan, Hanim Salim A Hore, 33, dan keluarga, pada jam 9.30 malam, 21 Ogos 2017 di Swiss Garden Hotel di sini.

Justeru, tertuduh yang juga amah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Skeetar Rigine Lameck, 36, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, selepas mengaku salah mengugut keluarga majikannya, hari ini. FOTO Mohd Hilmie Hussin.
Skeetar Rigine Lameck, 36, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, selepas mengaku salah mengugut keluarga majikannya, hari ini. FOTO Mohd Hilmie Hussin.

Tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan kerana menanggung tiga anak berusia lapan tahun, 17 tahun dan 18 tahun serta ibu yang tinggal di Kenya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari merayu hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Mohd Firdaus kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 23 Ogos 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 12:57 PM