Mazlan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada wakil penduduk pada Program Komunito Polis bersama Pengusaha Pasar Borong dan Ketua Polis Kuala Lumpur di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Syazwan Msar
Mazlan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada wakil penduduk pada Program Komunito Polis bersama Pengusaha Pasar Borong dan Ketua Polis Kuala Lumpur di Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Syazwan Msar
Syazwan Msar


POLIS sudah mengenal pasti beberapa kumpulan ala gengster didalangi warga asing yang aktif melakukan peras ugut di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur untuk diambil tindakan dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, kumpulan yang dianggotai mengikut etnik dan negara asal masing-masing itu dipercayai masih bergiat aktif di kawasan berkenaan walaupun polis sudah mengambil tindakan sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya dalam peringkat mengumpul maklumat termasuk mengenal pasti ahli dan kegiatan dilakukan mereka sebelum mengambil tindakan susulan.

“Walaupun indeks jenayah di Pasar Borong Kuala Lumpur menurun 54 peratus pada tahun ini, namun kita percaya masih terdapat kumpulan warga asing terdiri daripada etnik masing-masing yang melakukan kegiatan jenayah.

“Kita akan menjalankan operasi dalam masa terdekat untuk mengambil tindakan terhadap warga asing ini,” katanya ketika ditemui pada Program Komuniti Polis bersama Pengusaha Pasar Borong dan Ketua Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan melakukan siasatan jika mendapati mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster yang terdapat di negara ini.

“Kumpulan warga asing ini aktif melakukan peras ugut peniaga selain meminta wang perlindungan. Perkara ini harus dibanteras dalam usaha mewujudkan persekitaran aman serta bebas jenayah.

“Pada masa sama, kita menempatkan dua pegawai dan beberapa anggota di Pasar Borong Kuala Lumpur supaya maklumat berkaitan jenayah dapat disampaikan dengan lebih cepat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memberi penekanan dalam menangani kegiatan pengedaran dadah tepi jalan atau ‘street pusher’ menerusi kerjasama dengan beberapa pihak seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK), pihak berkuasa tempatan(PBT) dan persatuan penduduk.

“Selain itu, polis juga akan menjalankan operasi menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pasar Borong Kuala Lumpur, sekali gus dapat mengurangkan jenayah di kawasan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 2:12 PM