Zainuddin (kanan) bersama pegawainya menunjukkan dua pistol yang dirampas. FOTO Yazit Razali
Zainuddin (kanan) bersama pegawainya menunjukkan dua pistol yang dirampas. FOTO Yazit Razali
Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Polis rampas dua pucuk pistol dan menahan dua lelaki disyaki suspek kes tembak seorang wanita di Jinjang, Februari lalu dalam serbuan di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, dua lelaki warga Myanmar dan Bangladesh itu berusia 36 dan 43 tahun bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Borong Selayang.

Beliau berkata, polis sedang memburu suspek utama anggota geng peras ugut pasar borong itu yang dikenali sebagai Nur Mahmed, 31, warga Myanmar.

"Sebelum ini pada 6 Ogos lalu kita menahan rakan kepada suspek utama iaitu lelaki warga Myanmar berusia 20 tahun yang mengaku terbabit dalam kejadian itu.

"Mereka ini dipercayai anggota geng peras ugut di pasar borong berkenaan yang bergiat aktif sejak awal tahun ini," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, senjata api yang dirampas adalah pistol jenis Colt Super 7.65 model C-1.45 dan tujuh butir peluru serta Revolver Crome bersama tiga butir peluru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2015 @ 4:12 PM