Muhamad Shahrul Nizam ditemui di temui di pusat ternakan ikan berhampiran Ladang KUB, Batu 16.5, Jalan Mersing-Kluang, jam 8.40 pagi, hari ini.
Muhamad Shahrul Nizam ditemui di temui di pusat ternakan ikan berhampiran Ladang KUB, Batu 16.5, Jalan Mersing-Kluang, jam 8.40 pagi, hari ini.
Ibrahim Isa


PENDAKI Gunung Chemendung berhampiran FELDA Ulu Dengar, Kampung Gajah, Kluang, Muhamad Shahrul Nizam Mohamad Shah, 23, yang sesat sejak petang kelmarin ditemui selamat di pusat ternakan ikan berhampiran Ladang KUB, Batu 16.5, Jalan Mersing-Kluang, jam 8.40 pagi, hari ini.

Muhamad Shahrul Nizam ditemui selamat dan sihat, kira-kira 20 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, pengusaha pusat ternakan ikan itu menemui mangsa sedang menyusuri sungai hingga ke ladang berkenaan.

Apabila dihampiri, Muhamad Shahrul Nizam mengaku cuba mencari jalan keluar akibat sesat ketika menuruni gunung itu.

Katanya, penternak berkenaan, Tai Leck Kong, 61, yang juga anggota RELA Kampung Paya, Kluang kemudiannya menghubungi Balai Polis Kahang untuk memaklumkan penemuan mangsa.

“Sebaik dimaklumkan berkaitan penemuan itu, anggota balai polis berkenaan ke lokasi terbabit dan tiba jam 10 pagi. Pada masa sama, Muhamad Shahrul Nizam turut diberi makan dan minum.

“Muhamad Shahrul Nizam kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kampung Gajah untuk diambil keterangan.

“Dia mendakwa baru dua kali mendaki gunung dan ketika menuruni gunung, dia terputus hubungan dengan rakan-rakannya,” katanya.

Menurut Mohamad, kali terakhir mangsa dapat dihubungi ialah menerusi SMS pada jam 1.36 tengah hari.

Mangsa memaklumkan dia berada berhampiran dua pokok bertanda garisan merah dan dua anak panah ke kiri.

“Apabila rakan-rakannya tiba, mangsa tiada di lokasi dan gagal dihubungi selepas telefon bimbitnya kehabisan bateri.

“Sebaik mengesahkan identiti mangsa, kami menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang membabitkan anggota RELA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 4:13 PM