ANGGOTA bomba mengambil maklumat empat pendaki yang ditemui selamat selepas tersesat di Gunung Pulai 2, Kulai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba mengambil maklumat empat pendaki yang ditemui selamat selepas tersesat di Gunung Pulai 2, Kulai, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Sabran Md Sani


EMPAT pendaki lelaki yang dilaporkan sesat ketika menuruni Gunung Pulai 2 di Kulai ditemui selamat, hari ini.

Mereka ialah Muhammad Aidil Amsir, Mohamad Raziff Mohamad Rafifi, Mohamad Syafiq Sani dan Ammar Fikri Othman, kesemuanya berusia 24 tahun.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas Mohd Bakhtiar Cik berkata, semua pendaki warga tempatan terbabit ditemui pasukannya pada 1.44 tengah hari.

Katanya, empat anggota bomba bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 12.25 tengah hari.

“Empat pendaki lelaki dipercayai sesat ketika dalam perjalanan turun dari puncak gunung ke bawah. Bagaimanapun, dua daripada mereka mengalami kecederaan ketika ditemui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan empat pendaki yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Pulai 2 ditemui dalam keadaan selamat.

Katanya, sebelum itu Pusat Kawalan Daerah (DCC) Kulai menerima maklumat daripada talian 999 mengenai pendaki sesat di Gunung Pulai 2 pada 12 tengah hari.

“Pada 12.05 tengah hari (tadi), anggota polis dapat menghubungi mangsa yang memaklumkan mereka dalam keadaan baik.

“Kami menghubungi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, selain Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas untuk digerakkan ke lokasi bagi menyelamatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 8:21 PM