PIHAK oBike  menyediakan puluhan tempat letak basikal di beberapa kawasan strategik bagi memastikan pengguna tidak meletakkan sepeda  di merata tempat.
PIHAK oBike menyediakan puluhan tempat letak basikal di beberapa kawasan strategik bagi memastikan pengguna tidak meletakkan sepeda di merata tempat.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengendali basikal tanpa stesen pertama negara oBike sudah menyediakan puluhan tempat letak basikal di beberapa kawasan strategik bagi memastikan pengguna tidak meletakkan kenderaan itu di merata tempat hingga menghalang laluan pejalan kaki dan kereta.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran oBike Edward Chan berkata, orang ramai yang menggunakan perkhidmatan basikal itu hendaklah lebih bertanggungjawab dan peka dengan menyusun kenderaan itu di tempat yang disediakan.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai pekerja yang melakukan pemantauan secara berkala di beberapa lokasi yang menjadi pilihan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan oBike supaya basikal itu tidak menghalang laluan pejalan kaki atau kenderaan lain.

“Kami menggunakan pendekatan mendidik orang ramai yang menggunakan basikal supaya meletakkan kenderaan di kawasan bersesuaian iaitu tidak menghalang pejalan kaki atau kenderaan lain.

“Konsep oBike adalah memudahkan orang ramai dan paling utama adalah mesra alam, oleh itu, tiada keperluan membina tempat letak basikal kerana berkemungkinan menyusahkan pengguna nanti,” katanya di sini, semalam.

Chan berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) menyita lebih 250 basikal oBike yang diletakkan di sekitar jalan raya kerana didapati menghalang laluan pejalan kaki dan kenderaan lain.

Tindakan berkenaan diambil selepas MBPJ menerima aduan daripada orang ramai berkaitan masalah terbabit, sekali gus menuntut pihak oBike membayar RM17,000 jika mahu mendapatkan kembali basikal terbabit.

Menurutnya, setakat ini oBike memiliki kira-kira 10,000 basikal yang beroperasi beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan bilangan akan bertambah dalam masa terdekat bergantung kepada permintaan semasa.

“Setakat ini belum ada lagi basikal milik kami yang hilang kerana dilengkapi kunci dan Sistem Kedudukan Global (GPS), sekali gus mampu mengetahui kedudukan kenderaan terbabit sekiranya didapati dicuri.

“Selain itu, kami juga bekerjasama dengan polis jika basikal milik oBike didapati dicuri atau digunakan untuk tujuan jenayah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Metro Ahad di beberapa kawasan tumpuan seperti Petaling Jaya dan Bangsar mendapati orang ramai meletakkan basikal berkenaan di merata tempat hingga mengganggu pejalan kaki.

Malah, ada antara basikal terbabit diletakkan di hadapan rumah, sekali gus boleh mengundang rasa tidak puas hati pemilik kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 8:59 AM