PASUKAN berbasikal bergambar kenangan sebelum memulakan kayuhan.
PASUKAN berbasikal bergambar kenangan sebelum memulakan kayuhan.
Nurul Husna Mahmud

Pasukan Berbasikal Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya melengkapkan misi Program Kayuhan Jelajah Malaysia Atlet Pusat Sukan Tumpuan Berbasikal UTeM-KPT 2018 menerusi kayuhan sejauh 1,372 kilometer (km), pada 16 Julai lalu.

Turut menyertai misi berkenaan yang bermula pada 9 Julai itu ialah Naib Canselor UTeM sendiri, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib menerusi kayuhan peringkat pertama Dataran Canselori Kampus Induk UTeM Durian Tunggal ke Batu Pahat sejauh 132km yang disempurnakan pelepasannya oleh Bendahari UTeM Khairul Taib.

Kayuhan itu bermula dari kampus ke selatan tanah air kemudian beralih ke kawasan pantai timur sebelum memasuki sempadan Perak menerusi laluan Jeli-Gerik. Seterusnya memasuki sempadan Selangor iaitu Batang Kali dan Bangi hinggalah menamatkan kembali perjalanan ke UTem pada 16 Julai.

Malah, peserta tidak menafikan cabaran paling getir ialah membabitkan laluan pendakian dari Kuala Kangsar ke Cameron Highlands. Kemudian menuruni selekoh tajam dan sempit iaitu Tapah menerusi jalan lama ke Batang Kali.

KHAIRUL melepaskan peserta kayuhan.
KHAIRUL melepaskan peserta kayuhan.

Selain laluan mencabar berikutan beberapa sisi mendaki, antara halangan lain ialah cuaca tidak menentu berikutan panas di tengah hari dan hujan secara tiba-tiba di sesetengah tempat.

Bagi Dr Shahrin, program kayuhan penting itu disifatkan pengalaman sukar dilupakan.

“Kayuhan terbabit tiada motif lain selain bertujuan menyahut hasrat universiti untuk membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga UTeM. Jadi contoh terbaik semestinya bermula dengan diri sendiri sebagai inspirasi dan dorongan kepada ahli lain.

“Dalam jelajah kali ini disertai kira-kira tujuh pelajar dan 10 kakitangan UTeM serta secara peribadi ia bukanlah perjalanan biasa sebaliknya perlu menempuh perjalanan jauh sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat kepada orang umum terutamanya warga kampus itu sendiri.

“Saya sendiri turut tercabar untuk berada dalam kumpulan yang sama dengan mengikuti kayuhan peringkat pertama membabitkan jarak lebih 100km dan berasa teruja dapat menemani mereka di sebahagian laluan apatah lagi julung kali diadakan.

“Kayuhan ini secara tidak langsung menjadi latihan buat diri saya dan pasukan dalam mempersiapkan diri bagi menyertai sesi kayuhan ke luar negara yang sedang dirancang,” ujar beliau lagi mengakhiri temubual.

PESERTA berusaha gigih untuk menamatkan misi.
PESERTA berusaha gigih untuk menamatkan misi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 12:49 AM