BARISAN baru MPP UTeM 2016/2017 bersama pengurusan universiti.
BARISAN baru MPP UTeM 2016/2017 bersama pengurusan universiti.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diminta terus komited dan berganding bahu dengan pihak universiti dalam melaksanakan agenda kebajikan siswa.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, MPP yang ditubuhkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 berfungsi sebagai ejen perantara antara universiti dan siswa khususnya dalam aspek kebajikan di kampus.

Menurutnya, MPP turut bertanggungjawab merancang dan mengendalikan pelbagai aktiviti bagi mewujudkan suasana kehidupan warga kampus lebih proaktif.

“Saya percaya MPP platform melaksanakan tanggungjawab kepada warga kampus yang memberi kepercayaan dalam pemilihan pilihan raya kampus.

“Justeru, MPP perlu menunaikan amanah itu terutama dalam memastikan agenda kebajikan siswa terlaksana.

“Juga jadikan ia sebagai wadah membantu universiti mencapai misi dan matlamat seperti diharapkan semua pihak yang mahu melihat nilai siswa berada di tahap membanggakan,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPP UTeM Sesi 2016/2017 di Kampus Induk Durian Tunggal.

Beliau berkata, pengurusan UTeM sentiasa membuka ruang kepada MPP menyampaikan pandangan melalui saluran betul dan berhemah.

“Penyerahan watikah pelantikan ini sebagai satu simbolik kepada usaha yang lebih bersemangat untuk menyandang tanggungjawab diamanahkan” katanya.

Pemilihan itu menyaksikan Abdul Hanif Abdul Rani, siswa dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) dipilih sebagai Yang Dipertua MPP UTeM Sesi 2016/2017.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Datuk Dr Mohd Razali Muhamad dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Izaidin Abdul Majid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 1:41 PM