DR Massila (tengah) pada sidang media Pemakluman Majlis Konvokesyen Ke-19 UTeM baru-baru ini.
DR Massila (tengah) pada sidang media Pemakluman Majlis Konvokesyen Ke-19 UTeM baru-baru ini.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kekal sebagai peneraju utama bagi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila seramai 2,115 graduannya dalam bidang itu bakal bergraduasi pada konvokesyen ke-19 universiti berkenaan bermula 4 hingga 6 November ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, jumlah itu adalah 68 peratus daripada keseluruhan 3,378 graduan bergraduasi pada konvokesyen itu yang juga paling ramai dalam sejarah sejak 23 tahun penubuhan universiti awam itu.

Menurut beliau, graduan UTeM terbukti mempunyai kebolehpasaran tinggi kerana memiliki sekurang-kurangnya satu pensijilan profesional yang menjadi 'buruan' industri sekali gus memberi nilai suntikan kebolehpasaran tinggi graduan.

"Uniknya graduan UTeM kerana 2,478 yang akan bergraduasi minggu depan daripada graduan Ijazah Sarjana Muda, lengkap mengikuti pensijilan profesional meliputi 25 kursus profesional tahap tinggi.

"Untuk makluman setiap pelajar kami wajib mempunyai sijil profesional. Walaupun dalam kekangan bajet, kita usahakan dengan pelbagai program bersama industri dan badan profesional supaya graduan kita mempunyai sekurang-kurangnya satu sijil profesional dan laku di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pemakluman Majlis Konvokesyen Ke-19 UTeM di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Dr Massila berkata, daripada 3,378 graduan, seramai 100 orang adalah dalam bidang doktor falsafah (PhD), ijazah doktor kejuruteraan (4), ijazah sarjana muda (151), ijazah sarjana muda (2,618) dan diploma (505) akan menerima skrol masing-masing bagi enam sesi penganugerahan bagi ketiga-tiga hari.

"Pada konvokesyen ini juga, sebanyak sembilan Anugerah Khas Industri akan disampaikan kepada graduan terpilih.

"Selain itu buat pertama kali 56 graduan separa masa akan bergraduasi menerusi program ijazah sarjana muda bagi kejuruteraan elektrik, mekanikal dan teknologi kejuruteraan mekanikal (teknologi automotif)," katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke karnival sempena konvokesyen itu bermula 28 Oktober hingga 6 November ini yang menyediakan lebih 30 program antaranya Advanced TVET Career Fair UTeM@MyFuture Jobs, TUAH Jaguh Joran, Tuah Arena National Championship (e-Sport), Perlawanan Bola Sepak Amal Untukmu Palestin dan persembahan artis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 6:45 AM