Mohmad
Mohmad
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dimaklumkan mengenai rakyat negara ini yang ditembak mati ketika cuba melarikan diri dalam pergelutan dengan anggota Badan Narkotika Nasional Propinsi (BNNP) Kalimantan Barat ketika ditahan kerana menyeludup dadah di Entikong, Kalimantan Barat, Indonesia, Sabtu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, Polis Republik Indonesia (POLRI) menghubungi Bukit Aman bagi memaklumkan mengenai kejadian dan hasil siasatan mengenai sindiket yang turut dianggotai suspek terbabit.

“Kami sedia bekerjasama dengan mereka (POLRI) untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Malaysia sebagai pusat pengedaran dadah terutama negara jiran, Mohmad Salleh berkata, dadah yang dibawa bukan berasal dari negara ini kerana Malaysia sebenarnya negara transit bagi aktiviti pengedaran dadah.

“Kita tidak akan membiarkan perkara ini berterusan dan mengukuhkan kerjasama terutama membabitkan pertukaran maklumat risikan dengan polis luar negara.

“Malah, dalam mesyuarat bilateral dengan POLRI baru-baru ini, masalah pengedaran dadah di sempadan antara menjadi keutamaan untuk dibincangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 4:09 AM