ISMA Suhaimi Shariff (kanan) sewaktu melawat Muhammad Adam Rayyan Mohd Nasir, 4 tahun yang juga anak kakitangan JPJ cawangan Sungai Petani yang mengidap penyakit kanser Neuroblastoma peringkat empat sewaktu mengadakan program Ziarah Kasih. FOTO Ihsan JPJ
ISMA Suhaimi Shariff (kanan) sewaktu melawat Muhammad Adam Rayyan Mohd Nasir, 4 tahun yang juga anak kakitangan JPJ cawangan Sungai Petani yang mengidap penyakit kanser Neuroblastoma peringkat empat sewaktu mengadakan program Ziarah Kasih. FOTO Ihsan JPJ
Zuliaty Zulkiffli


KESIBUKAN bertugas tidak menghalang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menziarahi Muhammad Adam Rayyan Muhamad Nasir, 4, yang menderita kanser neuroblastoma tahap empat sejak dua tahun lalu di rumahnya di Taman Seraya Emas, Sungai Petani, semalam.

Lawatan itu disertai Pengarah JPJ Kedah, Isma Suhaimi Sharif bersama beberapa pegawainya, tambahan pula kanak-kanak malang itu adalah anak Pembantu Penguat Kuasa JPJ Muhamad Nasir Ishak yang bertugas di JPJ Sungai Petani.

Menurut Isma Suhaimi lawatan Program Ziarah JPJ Kedah itu bertujuan untuk melihat perkembangan Muhammad Adam Rayyan.

Katanya, setakat ini keluarga Muhammad Adam Rayyan tidak menggalakkan kunjungan pelawat selain reda dengan ujian Allah SWT selepas anak mereka disahkan menghidap penyakit itu.

"Tujuan kami mengunjunginya hanyalah untuk memberi semangat dan menggembirakannya kerana sebelum ini dia banyak menghabiskan waktu di rumah.

"Kami juga pernah menunaikan hasrat Muhammad Adam Rayyan untuk ke Legoland Malaysia dengan mengatur perjalanan untuknya bersama dua pegawai kami dengan kerjasama JPJ Johor.

"Dia diberi penginapan dan tiket percuma untuk masuk ke taman tema itu selama dua hari iaitu pada 25 hingga 27 Ogos lalu dan dia amat gembira sehinggakan `lupa' sementara pada penyakitnya itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Isma Suhaimi berkata, Muhammad Adam Rayyan sebelum ini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar selain kimoterapi di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi merawat penyakitnya itu.

Katanya, beliau dimaklumkan kanser itu sudah merebak ke kepala Muhammad Adam Rayyan, namun berharap kanak-kanak itu selamat dan mampu melawan penyakitnya.

"Apa yang saya tahu, sebelum ini dia tidak boleh pejam mata tetapi sekarang sudah boleh. Ini membuktikan dia berjaya melawan penyakitnya itu.

"Sejak akhir-akhir ini berat badannya agak susut dan matanya masih tersembol. Kami sentiasa berdoa supaya keadaan Adam kembali seperti sedia kala," katanya.

Dalam pada itu, Isma Suhaimi berkata, pihaknya turut memberi sumbangan wang dan barangan makanan untuk meringankan penderitaan yang ditanggung keluarga kanak-kanak itu selain dapat menggembirakan hatinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 10:46 PM