CHE Cha Iberahim menunjukan gambar arwah anaknya Muhammad Rohaizad Roslan.  FOTO Rohanis Shukri
CHE Cha Iberahim menunjukan gambar arwah anaknya Muhammad Rohaizad Roslan. FOTO Rohanis Shukri
Noor Hidayah Tanzizi


Putrajaya: Perjuangan tanpa lelah anak bongsu kesayangan melawan leukemia sejak berusia enam tahun memberi semangat kepada pesara kerajaan melawan barah payudara tahap tiga sejak disahkan menghidap penyakit itu pada 2015.

Kini, Che Cha Iberahim, 65, 'survive' dari penyakitnya dan sudah tidak perlu makan ubat lima bulan lalu, namun 'kejayaan' itu tidak sempat diraikan bersama anaknya, Muhammad Rohaizad Roslan.

Ini kerana Muhammad Rohaizad yang turut 'survive' dari penyakitnya itu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 24 Mac tahun lalu ketika arwah berusia 21 tahun.

Berkongsi kisahnya, Che Cha berkata, selepas diuji dengan penyakit anak bongsunya, dia diuji sekali lagi apabila turut berkongsi cerita sama apabila disahkan menghidap kanser payudara.

Menurutnya, ketika itu Muhammad Rohaizad yang mesra disapa Rohaizad berusia 15 tahun dan sudah melepasi saat sukar melawan penyakitnya.

"Siapa yang tak sedih apabila disahkan menghidap kanser. Sebelum itu saya sudah melalui saat getir ketika anak bongsu disahkan leukemia.

"Berbekalkan semangat Rohaizad, dia juga selalu minta saya sentiasa kuat dan jangan fikir sakit selain sokongan suami serta enam anak lain buat saya lebih bersemangat melawan sakit," katanya ketika ditemui pada majlis Perhimpunan Superhero Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak PPUKM (Cakne) di sini, baru-baru ini.

Katanya, Muhammad Rohaizad memberinya kata semangat dan galakkan sama seperti dibuatnya ketika anak bongsu itu berjuang melawan sakit.

"Saya sudah merasai apa yang Rohaizad rasa dulu, patutlah dia tak mahu makan sebab tak tertelan di tekak, rasa pahit saja tetapi kami sama tetap mahu dan bersemangat makan ubat demi mahu sembuh.

"Cuma Rohaizad tak sempat melihat saya sampai ke tahap ini," katanya yang tinggal di Kampung Sungai Tangkas, Kajang dan sudah menjalani tiga pembedahan susulan sebelum ini.

Bercerita lanjut, Che Cha berkata, arwah anaknya didiagnosis leukemia selepas kerap sakit pinggang dan demam sebelum ujian darah mengesahkan Muhammad Rohaizad menghidap penyakit itu.

Katanya, Muhammad Rohaizad juga pernah berasa hilang harapan apabila mengetahui dia menghidap kanser, namun sokongan kuat keluarga memberi dia semangat untuk berjuang.

"Rohaizad anak yang sangat patuh dan berdisiplin mengikut rawatan dan makan ubat kerana mahu sembuh serta bersekolah.

"Malah dia juga seorang yang suka berkongsi cerita perjalanannya sebagai pesakit kanser dengan pelajar sekolah lain.

"Dia anak istimewa kategori masalah pembelajaran tetapi seorang sangat aktif walaupun paru-parunya dibuang separuh kerana jangkitan, malah dia juga aktif mendaki beberapa bukit dan gunung seperti Gunung Datuk dan Kinabalu serta berbasikal.

"Katanya dia mahu tunjuk sebagai pejuang kanser kalau dia boleh buat aktiviti itu... adik-adiknya (pesakit kanser kanak-kanak lain) juga boleh dan tidak berputus asa serta kecewa," katanya memberitahu anaknya itu berkerja sebagai pembantu bakeri sebelum ini.

Katanya, anaknya disahkan bebas kanser selepas 10 tahun berjuang, namun anaknya itu meninggal dunia akibat kemalangan motosikal ditunggangnya dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Kami memang aktif dengan bersama Cakne sejak arwah anak masih ada dan kini apabila dia sudah tiada kami tetap mahu menyokong komuniti ini sekali gus berkongsi dan membantu semangat mereka.

"Saya bersyukur dengan bantuan perubatan kami diberikan peluang sembuh dan untuk ibu bapa yang sedang diuji saya berharap mereka kuat semangat untuk anak dan teruskan perubatan," katanya.

Sementara itu, suaminya, Roslan, 64 mengakui ujian dua insan tersayang diuji penyakit itu sangat mencabar, namun dia perlu kuat berjuang bersama mereka.

"Dalam menghadapi ujian ini sokongan keluarga sangat penting untuk berjuang bersama mereka.

"Jujurnya saya tak kuat melalui semua ini tetapi sebagai ketua keluarga saya menguatkan juga semangat untuk mereka dan sehingga kini kehilangan Rohaizad masih dirasai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 12:40 PM