NURUL Natrah bersama Talha dan anak tunggal mereka, Nurul Syifa yang menghidap menghidap barah darah jenis AML pada program riadah keluarga Persatuan FOCCAN di Zoo Taiping, di sini, semalam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
NURUL Natrah bersama Talha dan anak tunggal mereka, Nurul Syifa yang menghidap menghidap barah darah jenis AML pada program riadah keluarga Persatuan FOCCAN di Zoo Taiping, di sini, semalam. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Ibu bapa mana yang tidak terkesan sebaik mengetahui jangka hayat anak tunggal yang masih kecil hanya mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan lagi.

Demikian keadaan terpaksa dilalui Nurul Natrah Nordin, 32, dan suami, Talha Salahuddin, 34, sejurus dimaklumkan doktor pada awal bulan lalu mengenai nasib anak perempuan mereka, Nurul Syifa Talha, 7, yang menghidap barah darah jenis leukemia myelogenous akut (AML).

Nurul Natrah berkata, dia dan suami dengan ketentuan itu, justeru cuba sedaya mungkin memenuhi permintaan puteri tunggal mereka itu selain cuba mencipta sebanyak mungkin memori indah.

"Masa depan, duit boleh dicari namun anak tiada gantinya, tambahan pula dia adalah satu-satunya anak kami. Walaupun sehingga kini Syifa sudah menjalani empat rawatan kimoterapi sejak penyakitnya mula dikesan Julai lalu namun doktor mengesahkan tiada lagi rawatan yang mampu mengubati penyakitnya.

"Kami reda, dan kami cuba penuhi apa yang dimintanya walaupun setakat ini Syifa cuma tahu yang dia sakit namun tidaklah sampai dia tahu yang dia cuma ada masa enam bulan (untuk hidup).

"Namun, Alhamdulillah kerana sejak mula dia disahkan menghidap kanser sampailah sekarang, Syifa sangat kurang mengadu alami kesakitan teruk, sebaliknya cuma kerap mengalami demam," katanya sewaktu ditemui dalam program riadah keluarga Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) di Zoo Taiping, di sini, semalam.

Nurul Syifa adalah antara 35 kanak-kanak di bawah FOCCAN yang menyertai program berkenaan selain program turut meraikan Muhammad Ammar Mohd Suhaimi, 7, iaitu pesakit kanser neuroblastoma (saraf) yang disahkan doktor jangka hayatnya mampu 'bertahan' sehingga Februari tahun depan seperti yang pernah dilaporkan Harian Metro sebelum ini.

Nurul Natrah berkata, penderitaan ditanggung membuatkan anaknya lebih suka menyendiri namun dalam masa sama membuatkan dia sebak apabila Syifa berulang kali menyatakan keinginan untuk makan sushi sesudah pulih kelak.

"Dia juga kata bila sembuh dia hendak makan sushi namun (permintaan) itu saya tidak tunaikan kerana bimbang ia kurang sesuai dengannya.

"Ada juga dia minta untuk pergi mandi-manda bersama sanak-saudara khususnya sepupunya di Felda Residence Hot Springs Sungkai yang mana kami rancang untuk pergi dalam Januari depan untuk tunaikan permintaan," katanya menetap di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Dia berkata, biarpun disahkan doktor jangka hayat anaknya tidak lama, dia masih mengharapkan keajaiban selain masih cuba dengan rawatan alternatif melalui perubatan Islam.

"Walaupun disahkan menghidap leukimia Julai lalu, baru dalam awal bulan ini (Disember) doktor mengatakan hayat anak saya adalah antara tiga hingga enam bulan. Bagaimanapun keajaiban masih diharapkan, tambahan pula Syifa kelihatan semakin baik dan ceria," katanya.

Sementara itu, Pengerusi FOCCAN, Maznah Tayib berkata, program yang dianjurkan bertujuan memberi keceriaan dan motivasi kepada kanak-kanak penghidap kanser selepas sekian lama menjalani rawatan dalam keadaan dunia dilanda pandemik Covid-19.

"Selain menceriakan kanak-kanak terbabit apabila dapat kembali berjumpa sesama rakan senasib, program sebegini bermakna bagi merakamkan momen indah seisi keluarga selain mengeratkan hubungan antara ibu bapa yang ditimpa nasib serupa dan memerlukan sokongan satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 10:42 AM