Zuhainy Zulkiffli

TENAGA Nasional Berhad (TNB) masih menghentikan bekalan elektrik di 10 kawasan yang terbabit dalam kejadian banjir di Pulau Pinang, hari ini.

Jurucakap TNB Careline berkata, setakat 10 pagi ini pencawang di Sungai Puyu, Bagan Jermal, Bagan Dalam, Permatang Berangan, Sungai Dua, Penanti dan Perai di Seberang Perai terpaksa ditutup atas faktor keselamatan.

Manakala di bahagian pulau pula, lokasi terbabit ialah Datuk Keramat, Air Itam dan Tanjung Tokong.

Semalam, TNB terpaksa menutup bekalan elektrik di 45 pencawangnya berikutan banjir buruk menyebabkan seramai 6,372 pengguna terjejas.

Berikutan itu, pihak TNB sudah menempatkan 21 set janakuasa bagi memastikan bekalan elektrik di lokasi penting tidak mengalami gangguan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 2:26 PM