SEBAHAGIAN anggota keluarga dan waris yang hadir pada pengkebumian empat sekeluarga di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerung Surau, Wakaf Tapai, Marang.
SEBAHAGIAN anggota keluarga dan waris yang hadir pada pengkebumian empat sekeluarga di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerung Surau, Wakaf Tapai, Marang.
Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham


Marang: Melihat kereta yang terbabit dalam kemalangan itu mirip kenderaan abangnya menyebabkan terdetik di hati Mohd Asbi Muda, 49, kemungkinan saudara kandungnya menjadi mangsa dalam kejadian di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Penjara Marang di Pulau Kerengga di sini, kelmarin.

Mohd Asbi dan isteri ketika itu kebetulan lalu di kawasan berkenaan untuk pulang ke Paka, Dungun selepas menghadiri kenduri di Kubang Tangga, Kuala Terengganu.

Dia kemudian berhenti di tepi jalan untuk mendapatkan kepastian dan hatinya luluh apabila mendapati benar abangnya terbabit dalam kemalangan itu selepas melihat nombor pendaftaran Proton Iswara berkenaan.

“Ketika melalui lokasi, terpandang kereta seperti kenderaan abang dan sebaik berhenti, saya melihat betul keretanya berdasarkan nombor pendaftarannya.

“Saya terus bergegas ke kenderaan itu dan bersama-sama orang ramai yang cuba membantu mengeluarkan mereka yang tersepit dalam kenderaan.

“Dalam hati, saya hanya mampu berdoa semoga mereka yang tersepit kereta masih bernyawa walaupun kenderaan itu remuk.

“Bagaimanapun, usaha itu gagal kerana kereta berkenaan terperosok di bawah depan bas, sekali gus sukar untuk mengeluarkan mereka,” katanya.

Dalam kejadian jam 6.40 petang, abang Mohd Asbi, Mohd Saari@Sari Muda, 52, yang juga pemandu kereta, isterinya, Mizah Mamat, 52, dan anak mereka, Nurul Syahirah, 18, serta anak saudaranya, Nur Adibah Ramli, 19, maut.

Ketika kejadian, kereta berkenaan dari arah Dungun menuju Marang manakala bas persiaran pula dari arah bertentangan sebelum bertembung.

Kereta itu dikatakan terbabas ke laluan bertentangan menyebabkan bas persiaran dipandu Abdul Jalil Awang, 56, yang membawa 30 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Baging, Kuantan terpaksa mengelak ke kanan.

Bagaimanapun, kereta itu didakwa tiba-tiba kembali semula ke laluan asal menyebabkannya bertembung dengan bas berkenaan.

Mayat semua mangsa hanya berjaya dikeluarkan jam 8.30 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 10:39 AM