Pemandu teksi yang ditahan kerana mengenakan caj melampau terhadap penumpang.
Pemandu teksi yang ditahan kerana mengenakan caj melampau terhadap penumpang.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

 

 

SEORANG pemandu teksi ditahan pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selepas didapati mengenakan tambang tidak munasabah terhadap penumpang kelmarin.

Pemandu teksi berusia 30-an itu didapati memaksa penumpang warga Myanmar membayar tambang sebanyak RM160 bagi perjalanan kurang 10 kilometer.

Difahamkan caj melampau itu dikenakan selepas pemandu teksi terbabit menghantar mangsa dari Jalan Bukit Petaling ke Kota Raya di sini.

Mangsa bagaimanapun bertindak membuat aduan kepada pihak SPAD di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) semalam.

Jurucakap SPAD berkata, pihaknya kemudian menjalankan siasatan dan berjaya mengesan pemandu teksi terbabit berada di sekitar TBS.

"SPAD kemudian menahan dan mengambil keterangan dari pemandu teksi itu.

"Pemandu teksi itu kemudian mendakwa hanya meminta caj tambang sebanyak RM100 daripada mangsa," katanya.

Menurutnya, teksi model Proton Saga BLM yang digunakan pemandu terbabit kemudian disita bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pengangkutan  Awam Darat 2010 dan notis 80 akta sama atas kesalahan tidak menggunakan meter tambang.

Dalam kejadian 6 Oktober lalu, seorang pemandu teksi turut ditahan SPAD selepas memaksa dua penumpang membayar tambang RM950 bagi jarak perjalanan kurang 10 kilometer dari KL Sentral ke Setapak di sini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 10:12 PM