ANGGOTA SPAD menahan seorang pemandu teksi dalam Ops Tegas di TBS.
ANGGOTA SPAD menahan seorang pemandu teksi dalam Ops Tegas di TBS.
myMetro

Kuala Lumpur: Hanya kerana RM25, dua pemandu teksi ‘berputih mata’ apabila teksi mereka disita Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana tidak menggunakan meter tambang.

Pemandu teksi berusia 60-an itu didapati mengenakan caj bayaran itu kepada penumpang tanpa menggunakan meter ketika ditahan dalam operasi Ops Tegas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, kelmarin.

Jurucakap SPAD berkata, tangkapan kedua-dua pemandu teksi adalah hasil penyamaran dilakukan anggota Penguatkuasa SPAD di terminal berkenaan.

“Pemandu pertama yang ditahan membawa seorang penumpang warga Bangladesh dari Kedutaan Bangladesh di Jalan U Thant, Taman U Thant di sini, ke TBS kira-kira jam 11 pagi.

“Anggota SPAD mengesyaki pemandu itu tidak menggunakan meter tambang memandangkan lampu pada atas kenderaan atau dikenali sebagai ‘jambul’ tidak menyala sebelum pemeriksaan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pemandu teksi itu terbukti tidak menggunakan meter ketika membawa penumpang dan mengenakan kadar tambang sebanyak RM25.

“Kes kedua, pemandu teksi itu didapati membawa tiga warga Bangladesh dari Kota Raya ke TBS dengan mengenakan caj RM20 tanpa menggunakan meter.

“Ketika tiba di TBS jam 12 tengah hari, pasukan kami mendapati pemandu teksi itu tidak menggunakan meter sebelum melakukan pemeriksaan. Memang benar lelaki itu melanggar peraturan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua teksi itu milik syarikat dan disita untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:06 AM