MOHD Sahbri
MOHD Sahbri
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Padah menyebabkan kecederaan pada jandanya, seorang lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd Sahbri Mustaffa, 47, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Sahbri didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas bekas isterinya yang berusia 48 tahun di rumah di Taman Kesidang Seksyen 2, Kampung Lapan kira-kira jam 10 malam, 30 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, tertuduh dikatakan keluar untuk mendapatkan barangan dapur bersama bekas isterinya itu namun dia tiba-tiba menjadi berang selepas ditegur wanita terbabit kerana membeli daun ketupat.

Akibat tindakan tertuduh, wanita terbabit mengalami lebam pada paha dan betis kiri serta bibir.

Mohd Sahbri yang diwakili peguam Faiezad Razali merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan ke atasnya dengan alasan tertuduh memberikan kerjasama sepanjang prosiding.

Faiezad berkata, tertuduh yang bekerja di bengkel hanya memperoleh upah RM1,000 sebulan selain anak guamnya itu juga perlu menanggung empat anak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 10:17 AM