ROSMAH (kiri) pada Majlis Pelancaran Seminar #CyberSAFE di Alam Siber di The Royale Chulan Kuala Lumpur.
ROSMAH (kiri) pada Majlis Pelancaran Seminar #CyberSAFE di Alam Siber di The Royale Chulan Kuala Lumpur.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hampir 45 peratus kanak-kanak pada usia tujuh hingga sembilan tahun sudah mahir menggunakan Internet, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

“Sehubungan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan yang sangat penting untuk mengawasi apa yang ditonton, didengar dan dibaca oleh anak-anak di Internet,” katanya dalam ucapannya merasmikan seminar #CyberSafe: Memelihara Keselamatan Wanita dan Kanak-Kanak di Alam Siber, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Mengulas lanjut, Rosmah berkata, ketagihan Internet dalam kalangan kanak-kanak bukan sahaja boleh mendominasi kehidupan mereka, malah merosakkan pergaulan sosial, menggugat fikiran, pembelajaran serta mengganggu emosi.

Beliau berkata, keadaan itu juga mampu menjejaskan hubungan kekeluargaan selain mengurangkan pembabitan golongan itu dalam bidang sukan dan rekreasi.

“Ketandusan hubungan kekeluargaan mengakibatkan kurangnya pemupukan nilai murni serta role modelling yang diperlukan untuk mendidik anak-anak menjadi seorang dewasa yang bertanggungjawab dan pencinta kedamaian.

“Ini adalah masalah inter-generasi yang berkitar dan kelak boleh meningkatkan risiko anak-anak menjadi mangsa dan pemangsa jenayah siber,” katanya.

Seminar sehari anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia itu dihadiri 1,200 peserta daripada agensi swasta, golongan remaja, kanak-kanak dan peserta Permata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 9:15 AM