DR Zabidi menyampaikan ceramah kaedah mendidik anak-anak.
DR Zabidi menyampaikan ceramah kaedah mendidik anak-anak.

Kepala Batas: Kealpaan ibu bapa yang mendidik anak dengan gajet dikhuatiri boleh merencatkan psikologi mereka.

Pakar Perunding Kanak-Kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof Dr Zabidi Azhar Husin berkata, jika situasi itu tidak dikawal, kanak-kanak ini bakal berdepan masalah dari segi didikan selain tidak mendapat kasih sayang sepatutnya.

“Pemberian gajet memang sesuatu kaedah menyeronokkan, namun ia perlu dihadkan dan dikawal.

“Membawa mereka keluar bersiar-siar dan menggunakan kawan-kawan untuk sumber mengajar adalah didikan terbaik yang dapat diguna pakai untuk menarik minat mereka,” katanya.

Berikutan itu, katanya, ibu bapa harus mencipta kaedah didikan menyeronokkan untuk anak-anak mereka dengan tidak hanya tertumpu dengan pemberian gajet semata-mata.

Dr Zabidi berkata, setiap ibu bapa harus mempelajari dan memahami keadaan psikologi anak mereka supaya tugas mendidik menjadi mudah dan tidak membebankan.

Katanya, ibu bapa yang memahami keadaan psikologi anak-anak mereka dapat membentuk hubungan kekeluargaan yang lebih erat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Seminar Mendidik Anak Dengan Kaedah Menyeronokkan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 9:01 AM