BERNAMA

BEKAS Mufti Terengganu Datuk Ismail Yahya berkata masalah yang berlaku dalam rumah tangga antara suami isteri boleh memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara.

Ismail yang juga bekas Ketua Hakim Mahkamah Syarie di Terengganu berkata, usaha pemerkasaan tidak perlu tertumpu kepada wanita sahaja tetapi juga lelaki agar kedua-dua pihak sedar hak serta tanggungjawab mereka dalam perkahwinan.

“Apa yang berlaku sekarang suami dan isteri tidak tahu atau tidak faham tanggungjawab mereka terhadap anak-anak, terutama selepas perceraian.

“Bila mereka bercerai, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Mereka (anak-anak) akan menjadi masalah kepada negara kerana apabila tidak terdidik, akan menyumbang kepada permasalahan sosial,” katanya selepas forum ‘Pemerkasaan Wanita, Pemerkasaan Malaysia’ anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDFR) di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, jika anak-anak yang tidak terdidik itu terlibat jenayah dan dipenjarakan, kerajaan perlu menanggung pembiayaan banduan menggunakan duit rakyat, yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan negara.

“Masyarakat pula pandang serong selepas dibebaskan. Sentimen negatif ini terbentuk hanya disebabkan perceraian ibu bapa,” tegasnya.

Sementara itu pensyarah bidang ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Madeline Berma berkata, antara elemen penting dalam memperkasakan wanita adalah pendidikan, kemudahan asas dan bantuan.

Beliau berkata, masih berlaku ketidakseimbangan antara wanita yang tinggal di bandar dan luar bandar, antara lelaki sebagai ketua isi rumah dan wanita sebagai ketua isi rumah dengan isi rumah diketuai wanita lebih bermasalah.

“Kalau kita kaji bagaimana hendak membangunkan sesebuah keluarga atau masyarakat, tidak ada jalan lain selain pendidikan. Jadi wanita perlu diberikan pendidikan, sama ada formal atau tidak formal.

“Namun, masyarakat kita terlalu menekankan sistem pendidikan formal sehingga ada wanita keciciran. Jadi penting untuk golongan wanita diberikan pendidikan tidak formal supaya mereka mempunyai kemahiran (untuk menyara kehidupan),” kata Madeline yang juga bekas Pengarah ‘Tun Fatimah Institute for Women Leadership’ UKM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 8:41 PM