Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Lahir daripada keluarga penoreh getah menyebabkan isu kemiskinan terlalu dekat di hatinya sehingga membuatkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob begitu sebak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.

Ismail Sabri ketika berucap dilihat diam sejenak sambil meneguk secawan air ketika mengakui dilahirkan dan membesar dalam keluarga penoreh getah.

Ismail Sabri berkata, disebabkan itu, kerajaan sentiasa komited untuk membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan rakyat dengan menubuhkan Unit Kemiskinan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

"Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya, dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat.

"Pandemik Covid-19 yang melanda meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan," katanya.

Ismail Sabri berkata, Unit Kemiskinan ditubuhkan melalui penyusunan semula fungsi dan perjawatan untuk menyelaras segala hal ehwal kemiskinan termasuk pengurusan data yang lebih bersepadu.

"Unit yang sama dicadang ditubuhkan di setiap negeri dan pejabat daerah. Melalui usaha ini, saya yakin sasaran untuk membasmi kemiskinan tegar dapat dicapai pada 2025," katanya.

Menurutnya, menyedari kesan pandemik kepada kadar kemiskinan dan bagi memastikan inisiatif pembasmian kemiskinan lebih berkesan, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sedia ada akan dikemaskini berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022.

"Kaedah mengukur kemiskinan juga akan terus ditambah baik dengan memperluas skop Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI).

"Bagi menambah baik kesejahteraan keluarga B40 dan kumpulan mudah terjejas, usaha lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup," katanya.

Katanya, bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial, akan diteruskan kepada mereka yang layak.

"Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

"Malah, saya menyeru sektor korporat dan orang perseorangan dapat meneruskan usaha murni membantu ahli Keluarga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan termasuk melalui pemberian zakat dan wakaf," katanya.

Katanya, kemiskinan juga wujud dalam pelbagai dimensi seperti dalam aspek pendidikan, di mana lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberikan keutamaan kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa.

"Bagi kesihatan, akses kepada penjagaan kesihatan akan diperluas, isu kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 akan ditangani secara komprehensif, termasuk melalui pengambilan makanan berkhasiat.

"Bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan kebolehpasaran golongan M40, program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan dipertingkat tanpa mengira kaum.

"Malah, anak-anak M40 juga akan dipastikan mendapat akses pendidikan yang berkualiti pada kos yang berpatutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:40 PM