FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Dr Nurulbahiah Awang

Malaysia ialah negara yang dihuni oleh rakyat yang mempunyai latar belakang yang pelbagai sejak zaman sebelum merdeka. Cara hidup masyarakat Malaysia amat dipengaruhi oleh agama, budaya dan kepercayaan. Lebih-lebih lagi golongan wanita yang amat mementingkan adat, kepercayaan dan maruah dalam kehidupannya.

Jika dahulu, wanita terpelihara daripada sebarang pengaruh kerana lebih banyak berada di rumah. Mereka tidak diberikan peluang untuk bersekolah sehingga ke peringkat tertinggi apatah lagi bekerja jauh daripada keluarga terutama di kota besar dalam sektor formal.

Wanita dahulu hanya membantu keluarga di rumah dengan kerja rumah tangga dan pertanian sara diri. Sampai waktu berkahwin, wanita akan dikahwinkan oleh ibu bapa mereka dengan pilihan keluarga.

Kebanyakan wanita sebelum merdeka adalah suri rumah tangga sepenuh masa dan amat mentaati suami.

Wanita sebelum merdeka tidak mendapat peluang untuk belajar secara formal berkaitan asas kewangan, perniagaan, undang-undang, teknologi dan lebih-lebih lagi pentadbiran dan politik.

Keadaan wanita Malaysia yang merdeka amat berbeza pada hari ini. Mereka telah diberikan peluang untuk menceburkan diri dalam pelbagai arena termasuk politik, pentadbiran, pendidikan, perubatan, perkhidmatan, perkilangan, perindustrian dan sebagainya. Malah, wanita Malaysia menjawat jawatan tinggi dalam bidang profesional, kemahiran, teknologi maklumat dan perniagaan setanding lelaki. Jurang sosial wanita Malaysia telah dapat diatasi selepas 66 tahun merdeka.

Perbezaan ketara boleh dilihat apabila kajian pada 2022 mendapati jumlah wanita mendaftar di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) mewakili 61 peratus daripada jumlah mahasiswa yang mendaftar, manakala hampir 53 peratus mahasiswa yang mendaftar di institusi swasta adalah wanita.

Dalam memastikan hak wanita Malaysia tidak dipinggirkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ditubuhkan pada 2001. Pelbagai inisiatif diusahakan oleh kerajaan untuk pemerkasaan wanita dan keluarga melalui polisi dan undang-undang, program kekeluargaan dan keibubapaan dalam menyeimbangkan kehidupan seharian.

Antara inisiatif yang disediakan ialah menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak berkualiti, pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja, persekitaran kerja kondusif serta selamat, waktu bekerja fleksibel, bantuan geran berbentuk perniagaan, bantuan khas kepada suri rumah, polisi melibatkan wanita sebagai pembuat dasar dan sebagainya.

Peruntukan berkenaan perlindungan gangguan seksual dan permohonan bekerja fleksi telah diwartakan dalam Akta Kerja 1955 pada Januari 2023. Walaupun hak yang diberikan tidak bersifat mutlak (kerana persetujuan diperlukan daripada majikan), ia secara tidak langsung menyediakan inisiatif yang baik terutama bagi wanita yang memerlukan fleksibiliti dalam bekerja dengan kekangan kesihatan dan tanggungjawab lain terutama penjagaan anak.

Walaupun telah berusia 66 tahun, usaha pemerkasaan wanita merdeka masih perlu giat dilaksanakan. Peranan wanita amat penting dalam pembentukan Masyarakat Madani demi melahirkan masyarakat yang lebih mampan dan makmur. Pemerkasaan wanita dilihat lebih penting dalam kehidupan era globalisasi teknologi maklumat ketika ini.

Seiring perumpamaan yang diberikan kepada wanita iaitu 'tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia' ia merujuk kepada peranan utama wanita dalam sebuah keluarga.

Walaupun wanita bergiat aktif di lapangan, namun mereka berperanan besar agar dapat mendidik anak dengan adab sopan yang tinggi dan ilmu yang bermanfaat serta menghormati orang yang lebih tua. Wanita merdeka perlu menghayati dan memahami kelima-lima prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan.

Kelima-lima prinsip Rukun Negara ini perlu dibawa bersama dalam menempa kejayaan agar tidak terpengaruh dengan budaya luar yang terpesong daripada landasan agama, budaya, dasar dan peraturan masyarakat.

Janganlah dilupa bahawa kejayaan yang dicapai adalah usaha yang dikongsi bersama bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Namun, kejayaan yang hakiki bukan hanya diukur dengan pencapaian daripada sudut kebendaan semata-mata bahkan perlu dihayati dan diaplikasi dalam bentuk akhlak, adab, moral dan nilai baik serta buruk dalam semua perkara.

Oleh itu, wanita Malaysia yang merdeka perlu berani mempertahankan maruah diri sendiri daripada ditindas, dinodai dan ditipu disebabkan kejahilan serta kealpaan sendiri.

Seorang wanita merdeka sepatutnya mempunyai jati diri merdeka yang boleh membebaskan diri daripada menjadi hamba kepada makhluk dan teknologi. Wanita merdeka mesti bijak memilih cara hidup yang lebih lestari iaitu dengan berpegang kepada sesuatu yang kekal abadi daripada sesuatu yang bersifat sementara.

Wanita merdeka juga adalah wanita yang mengambil cakna kepentingan masyarakat, tidak pentingkan diri sendiri dan sentiasa positif dan proaktif untuk kemajuan.

Menjadi wanita yang berjati diri mulia, berilmu dan bijak adalah ciri wanita merdeka yang cemerlang dan lestari.

Penulis Pensyarah Kanan di Kolej Pendidikan Berterusan, Universiti Tenaga Nasional (Uniten)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 6:15 AM