(dari kiri) Acryl, Amar Singh dan Mazlan.
(dari kiri) Acryl, Amar Singh dan Mazlan.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan kenaikan pangkat dan pertukaran 42 pegawai kanannya, berkuat kuasa 9 November depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Komunikasi Korporat PDRM Senior Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata, pertukaran itu antara lain membabitkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang akan menyandang jawatan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman.

Jawatan beliau akan digantikan Datuk Amar Singh Ishar Singh yang kini memegang jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim pula dinaikkan pangkat ke Komisioner Polis (CP) dengan memegang jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur yang baru.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan dan Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Fatimah Abd Hamid pula ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik).

Fatimah menggantikan Deputi Komisioner (DCP) Omar Mammah yang ditukarkan ke Kontinjen Perak sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri.

Jawatan Datuk Mazlan Lazim pula akan disandang oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zainuddin Yaacob.

Timbalan Pengarah Jenayah Sindiket, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bertukar jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Jawatan Saiful diambil alih oleh Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 11:45 PM