PENGARAH Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob. FOTO ARKIB NSTP
PENGARAH Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob. FOTO ARKIB NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob akan bersara secara rasmi Isnin ini, selepas 33 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Zainuddin yang berpengalaman luas dalam jenayah perdagangan memulakan kariernya pada 5 April 1987 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP). Selepas selesai menjalani latihan kepolisan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, beliau ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sebagai ASP Pentadbiran.

Bermula 9 Februari 1989, beliau melaporkan diri sebagai ASP Perdagangan di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Atas kecemerlangan ditunjukkan, pada 17 Februari 1994, beliau dinaikkan pangkat kepada Deputi Superintendan Polis (DSP) dan menyandang jawatan sebagai DSP Perdagangan, JSJ Bukit Aman.

Anak jati Kuala Langat, Selangor ini kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Machang, Kelantan.

Perjalanan karier Zainuddin diteruskan apabila ditugaskan sebagai Pegawai Turus Operasi (Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan) JSJ Kuala Lumpur dan dinaikkan pangkat Superintendan serta diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Timbalan Ketua JSJ Kuala Lumpur.

Beliau kemudian dilantik Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak sebelum dinaikkan pangkat sebagai Asisten Komisioner Polis (ACP) dan menerajui daerah Manjung sebelum ditukarkan ke Johor Bahru Selatan.

Zainuddin kemudian dinaikkan pangkat sebagai Senior Asisten Komisioner (SAC) dan menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah JPJKK (Operasi Darat).

Atas pengalaman beliau menerajui beberapa daerah dan cawangan dalam PDRM, pada 3 Mei 2017 beliau dinaikkan ke pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) dan menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Perak.

Pada 23 Oktober 2017 beliau kembali ke Kuala Lumpur sebagai Timbalan ketua Polis Kuala Lumpur. Karier beliau sebagai pegawai kanan polis terus bersinar apabila ditugaskan untuk menerajui Ketua Polis Kedah pada 11 Mei 2019 dan menyandang pangkat Komisioner Police (CP) yang kemudian dilantik menjadi Pengarah JSJK.

Jawatan Pengarah JSJK akan dipangku Datuk Mohd Kamarudin Md Din bermula 24 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 2:02 PM