BUKIT Aman.
BUKIT Aman.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat 45 pegawai kanannya berkuat kuasa 25 Mac depan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Deputi Komisioner Alzafny Ahmad berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din ditukarkan sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Katanya, jawatan Pengarah JSJN pula disandang Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin.

"Timbalan Pengarah (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) JSJN Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad bertukar ke Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) JKDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

"Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa akan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat CP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alzafny berkata, Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin pula bertukar ke Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.

"Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad akan menyandang jawatan Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan JSJ Bukit Aman.

"Ketua Penolong Pengarah (D11) Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak JSJ Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan pula dinaikkan pangkat ke Senior Komisioner (SAC) dengan mengekalkan jawatan sama.

"Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Perak dengan memangku pangkat Asisten Komisioner," katanya.

Pertukaran Kamarudin sebagai Pengarah JKDNKA adalah bagi menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia Malaysia (MCBA) pada 31 Januari lalu.

Bagi perlantikan Rusdi sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur pula adalah bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Allaudeen Abd Majid yang akan bersara wajib pada 1 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:57 PM